Semoga adik Mohamad Nor Atho’ullah terus tabah [METROTV]

Kuala Lumpur: “Kami sekeluarga sedih dengan pemergian ayah cuma adik nampak tenang mungkin kerana dia masih kecil dan tidak mengerti apa yang berlaku,” kata pesakit Covid-19, Nur Kamilatul Alifah Mohamad Kamal.

Nur Kamilatul Alifah, 26, mengulas video tular di laman sosial yang menunjukkan wajah adiknya, Mohamad Nor Atho’ullah, 11, kelihatan tenang selepas menerima berita pemergian bapa mereka, Mohamad Kamil Ghazali, 51.

Mohamad Nor Atho’ullah juga kelihatan ditenangkan pesakit Covid-19 lain yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor.

Perkongsian video itu meruntun hati warganet yang meluahkan rasa sedih selain memberi kata semangat kepada Mohamad Nor Atho’ullah.

Nur Kamilatul Alifah berkata, dia tidak tahu adanya video itu sehingga menerima kiriman di WhatsApp daripada ibu saudaranya.

“Terima kasih kepada semua kerana mendoakan dan menghulurkan sumbangan kepada kami.

“Sebagai anak, saya bersyukur kerana ramai doakan arwah ayah walaupun mereka tidak mengenalinya.

“Cuma, ibu bukan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) seperti ciapan seorang pengguna Twitter tetapi wad kuarantin biasa saja,” katanya yang sudah dibenarkan discaj bersama adik-beradiknya yang lain, hari ini.

GAMBAR kenangan Mohamad Nor Atho'ullah dan bapanya, Allahyarham Mohamad Kamil Ghazali (kiri). FOTO ihsan Nur Kamilatul Alifah Mohamad Kamil
GAMBAR kenangan Mohamad Nor Atho’ullah dan bapanya, Allahyarham Mohamad Kamil Ghazali (kiri). FOTO ihsan Nur Kamilatul Alifah Mohamad Kamil

Bercerita lanjut, Nur Kamilatul Alifah berkata, bapanya yang menghidap kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang tahap empat mula-mulanya dimasukkan ke Hospital Serdang pada 31 Disember.

“Ayah tidak menunjukkan simptom malah dimasukkan ke hospital sebenarnya kerana kakinya bengkak serta dikhuatiri ada nanah,” katanya.

Bagaimanapun, ayahnya dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh pada 1 Januari selepas sesak nafas dan didapati positif Covid-19.

Sementara itu, dia bersama ibu, Norazah Aziz, 50, dan lima adik beradik lain sebagai kontak rapat menjalani saringan dan disahkan positif pada 10 Januari sebelum dimasukkan ke PKRC MAEPS, Rabu lalu selepas berkuarantin di rumah terlebih dahulu.

Namun, ibunya dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh pada malam Rabu lalu juga apabila doktor mendapati radang pada paru-paru.

MOHAMAD Nor  Atho'ullah (dua kiri) bersama adik-beradiknya. FOTO ihsan Nur  Kamilatul Alifah Mohamad Kamil
MOHAMAD Nor Atho’ullah (dua kiri) bersama adik-beradiknya. FOTO ihsan Nur Kamilatul Alifah Mohamad Kamil

“Kematian ayah tidak mengejutkan kerana doktor ada memaklumkan keadaan jantungnya yang berhenti seketika selepas melakukan rawatan dialisis malah beberapa hari sebelum meningggal dunia, dia (ayah) diberi ubat tidur tetapi ia tidak dapat menyelamatkannya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Nur Kamilatul Alifah, bapanya selamat dikebumikan kira-kira 7 malam semalam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketari , Bentong, Pahang.

“Alhamdulillah, ayah selamat dikebumikan dengan bantuan ahli keluarganya dan terima kasih juga kepada pihak hospital dan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang kerana membantu memastikan urusan berjalan lancar.

“Sedih kerana tidak dapat mengurus, mencium dan memberi penghormatan terakhir kepada arwah ayah sebelum dikebumikan.

“Namun, ada hikmahnya kami adik-beradik dikuarantin supaya tidak meratapi pemergian ayah,” katanya.

Video dirakam secara spontan

MUHAMMAD Fakhrul Aiman Misnon
MUHAMMAD Fakhrul Aiman Misnon

Sementara itu, Muhammad Fakhrul Aiman Misnon, 20, mengakui dia adalah individu yang merakam video berkenaan dan tidak sangka ia tular tidak lama selepas dimuat naik di akaun TikTok.

Muhammad Fakhrul yang juga seorang daripada pesakit Covid-19 di PKRC MAEPS, Serdang berkata, video itu dirakam petang semalam secara spontan kerana tersentuh melihat apa yang disaksikannya ketika itu.

“Mulanya saya dan rakan sengaja mengusik adik itu tetapi tiba-tiba dia melambai ke arah salah seorang daripada kami.

“Kami memanggilnya dan bertanyakan keadaannya. Ketika itu ,baru kami tahu bapanya baru saja meninggal dunia.

“Ia membuatkan kami jadi serba salah dan kebetulan, ada seorang pesakit di situ membuat kutipan sumbangan untuk keluarga adik berkenaan.

“Video itu sempat dirakam dan tak sangka ia tular cuma apa berlaku membuatkan saya sedar yang ada kalanya kita rasa ujian dihadapi sudah cukup besar tetapi ada orang diuji lebih hebat daripada kita,” katanya yang menetap di Seksyen 30, Shah Alam dan kini penuntut semester akhir Sijil Pembinaan Bangunan, Kolej Komuniti Bentong, Pahang.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19