‘Kami akan terus berjuang’

Kuala Lumpur: “Kami akan terus berjuang, doakan kami kuat untuk terus menguruskan pesakit.

“Walaupun kes semakin meningkat dan ada ketikanya kami begitu letih, kami akan teruskan,” kata Penyelia Jururawat Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Julia Azam Shakri.

Sebagai petugas barisan depan sejak gelombang pertama Covid-19 tahun lalu, beliau mengakui, rata-rata mereka tertekan dengan kes yang tidak berkesudahan, namun ia adalah cabaran dalam bertugas.

“Masuk tahun ini saya sudah 22 tahun bertugas, namun Covid-19 ini memberikan pengalaman yang berbeza.

“Rutin yang dulunya dianggap biasa, kini perlu diteliti kerana jika tersilap, ia berisiko kepada keselamatan diri, persekitaran dan keluarga,” katanya kepada Harian Metro.

Julia berkata, antara cabaran dilalui termasuklah memastikan protokol pemakaian Pakaian Perlindungan Diri (PPE) diikuti kerana bekerja di kawasan berisiko.

Katanya, bukan mudah bekerja dengan memakai PPE untuk tempoh masa lama kerana ia juga melambatkan pergerakan.

“Setiap hari kami bekerja dengan uniform, bila sampai di hospital, kena tukar pakai baju yang disediakan hospital dan PPE.

“Bukan itu saja, PPE berbeza diperlukan untuk setiap kes pesakit yang berlainan. Ada yang tahap tiga dan empat, ada yang berisiko rendah,” katanya.

ANTARA jururawat yang bertugas mengendalikan pesakit Covid-19 di HCTM. FOTO Ihsan Julia Azam Sakri
ANTARA jururawat yang bertugas mengendalikan pesakit Covid-19 di HCTM. FOTO Ihsan Julia Azam Sakri

Katanya, petugas sepertinya juga perlu memastikan setiap pesakit positif Covid-19 menerima rawatan terbaik, termasuk menguruskan mereka yang uzur dan lanjut usia.

Julia berkata, berbeza dengan kluster tabligh sebelum ini yang sihat dan boleh menguruskan diri sendiri, pemantauan kepada mereka yang uzur memerlukan pemerhatian lebih.

“Ada yang cacat penglihatan, ada yang terlantar, jadi kami perlu uruskan sebaik mungkin supaya mereka segera sembuh.

“Sebab itu saya pastikan penyusunan kerja, penjarakan kerja malam dan cuti diuruskan dengan baik bagi memberikan rehat secukupnya kepada kakitangan.

“Kami umpama pasukan yang pergi berperang. Walaupun penat, kami perlu selesaikan tanggungjawab ini. Jadi kepada rakyat Malaysia, patuhilah Prosedur Operasi Standard (SOP) demi kebaikan bersama kerana Covid-19 ini bukan perkara main-main,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19