Ganas! 9 das tembakan dilepaskan pembunuh

Banting: Sekurang-kurang sembilan das tembakan dilepaskan oleh dua suspek bermotosikal yang menyerang seorang ahli perniagaan dan pengawal peribadinya dalam kejadian di Jalan Sultan Abdul Samad, dekat sini tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superitendan Azizan Tukiman berkata, ia berdasarkan penemuan sembilan kelongsong peluru di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, polis masih belum pasti berapa banyak peluru yang mengenai dua mangsa terbabit yang kini masih menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

“Berhubung pelajar yang dirempuh kereta mangsa, ketiga-tiga mereka tidak mengalami kecederaan serius dan kini menerima rawatan di Hospital Banting,” katanya tadi.

Beliau berkata, kejadian tembakan sekitar jam 12.45 tengah hari itu berlaku kira-kira 100 meter dari Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Datok.

Katanya, ketika kejadian pelajar terbabit menunggu di tepi jalan selepas selesai sesi persekolahan sebelum dirempuh mangsa yang hilang kawalan selepas ditembak.

“Sebelum kejadian tembakan berlaku, dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas minum di sebuah kedai di Sungai Manggis, Banting.

“Berdasarkan siasatan awal, polis tidak tolak kemungkinan tembakan berlaku akibat masalah perniagaan dan pergaduhan antara dua kumpulan,” katanya.

Azizan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tembakan itu tampil di balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk membantu siasatan.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar dan satu klip video berdurasi 29 saat memaparkan kereta BMW yang dikatakan terlibat dalam kejadian tembakan itu.

Berita berkaitan

• Mangsa tembak rempuh pelajar sekolah

• Kesan tembakan di badan mangsa kemalangan