Covid-19: Melonjak lagi 111 kes baharu hari ini

Kuala Lumpur: Peningkatan kes Covid-19 di Sabah menyebabkan jangkitan baharu wabak itu dalam negara meningkat lagi kepada 111 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan sebanyak 10,687 kes setakat ini.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 turut meningkat dan berada dalam keadaan tidak stabil dengan merekodkan kes aktif 858.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 111 kes baharu yang dilaporkan itu, empat kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan bakinya 107 kes penularan tempatan.

Beliau berkata, kes import itu membabitkan empat warganegara, manakala bagi 107 kes penularan tempatan sebanyak 76 kes membabitkan warganegara dan 31 bukan warganegara.

“Kes baharu hari ini kembali tiga angka iaitu 111 kes dengan Sabah merekodkan 97 kes, antaranya 74 Kluster Bangau-bangau dan 13 Kluster Benteng LD.

“Kes baharu lain direkodkan di Kedah membabitkan lapan kes, termasuk tujuh daripada Kluster Sungai, selain satu kes dilaporkan di Pahang,” katanya dalam status dimuat naik di Facebook, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, ada 30 kes yang pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 9,696 kes.

“Sehingga kini, empat pesakit positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan tiga daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setakat 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 133 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19