Tiga rentung dalam kemalangan lima kenderaan

TIGA individu ditemui rentung selepas kenderaan dinaiki terbakar dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan berhampiran Jalan Genuang-Tenang dekat Kampung Melayu Raya, Segamat malam tadi.

Dua mangsa ditemui dalam Proton Saga, manakala satu mangsa dalam Honda Accord. Identiti ketiga-tiganya masih belum dikenal pasti.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima maklumat kejadian pada 10.47 malam dan menggerakkan tiga jentera termasuk kenderaan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Segamat serta Labis, bersama kekuatan 15 anggota.

Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Fuad Mohamad yang memberitahu dua mangsa terselamat iaitu pemandu Perodua Alza dikenali Mohamad Raqib Fitri Mohamad Asri, 23, dan individu dalam Proton Wira.

Turut terselamat, tujuh individu dalam sebuah lagi Proton Saga iaitu pemandu, Zamri Shedek, 39, dua wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.

Fuad berkata, Honda Accord dan Proton Saga sedang marak terbakar ketika mereka tiba dan operasi pemadaman segera dilakukan.

Pihaknya menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa terperangkap dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi ditamatkan pada 1.28 pagi.