‘Saya muhasabah diri, hajat hadiahkan basikal baharu’

“SAYA kagum melihat pelajar itu tidak malu membonceng basikal ditunggang bapanya untuk menimba ilmu.

“Saya muhasabah diri dan berhajat mahu menghadiahkan basikal baharu untuk kegunaannya ke sekolah,” kata Ma’aruf Esmam.

Usahawan bengkel besi dan perniagaan perkakasan rumah itu memuat naik sekeping gambar di Facebooknya minggu lalu bagi mencari pelajar yang dihantar bapanya ke sekolah dengan membonceng basikal.

Ma’aruf, 36, berkata, dia memperoleh gambar itu daripada aplikasi WhatsApp kenalannya, sebelum meminta izin untuk memuat naik di media sosial bagi menjejaki pelajar berkenaan.

“Alhamdulillah, pelajar itu sudah dikenal pasti sebaik Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkaitan menghubungi saya.

“Saya juga berhajat mahu menyalurkan bantuan basikal dan perbelanjaan bulanan kepada lebih 30 pelajar lain yang memerlukan yang dikenal pasti pihak sekolah dan PIBG.

“Insya-Allah, penyerahan bantuan itu akan dilakukan secara berperingkat dan diperluaskan ke sekolah lain, jika mendapat permintaan,” katanya kepada Harian Metro.

Ma’aruf bersama sebahagian basikal yg akan disedekahkan kepada pelajar sekolah memerlukan. FOTO Ihsan Ma'aruf Esmam
Ma’aruf bersama sebahagian basikal yg akan disedekahkan kepada pelajar sekolah memerlukan. FOTO Ihsan Ma’aruf Esmam

Menurut beliau, pesanan nenek selain seorang ulama supaya mengamalkan sedekah walaupun tidak kaya menjadi pegangan hidupnya sejak dulu.

“Saya pernah merasa hidup susah dan belajar setakat Tingkatan Tiga. Pernah pungut tin, besi buruk, basuh pinggan dan pasang gegantung untuk menyara hidup.

“Ketika itu, saya sudah berniat dan mula membantu orang susah kerana saya percaya, amalan ini dapat menjemput rezeki.

“Selain usaha bersungguh-sungguh, saya percaya apa yang saya miliki hari ini berkat doa orang tua saya dan amalan bersedekah selama ini,” katanya.

Menurut Ma’aruf, dia juga aktif membantu masyarakat memerlukan dengan menyediakan gerobok rezeki di pejabatnya di Kota Fesyen, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka.

“Walaupun kehidupan saya sudah berubah 100 peratus hari ini, saya masih lagi aktif berkongsi rezeki dan tambah bermakna apabila usaha saya ini turut mendapat sokongan kuat isteri, Harwani Husin.

“Di pejabat, saya meletakkan gerobok rezeki untuk mana-mana asnaf mengambil barangan keperluan asas termasuk wang RM50.

“Malah saya juga ingin menjemput masyarakat setempat yang ingin menimba ilmu kerana saya ada menyediakan kelas mengaji percuma di pejabat saya bermula jam 9 malam, setiap Selasa dan Rabu,” katanya.