‘Rezeki masih milik saya, jumpa semula gelang emas’

Kuala Lumpur: Lebih setahun disangkakan gelang emas miliknya sudah dibuang, malah Suraya Mohd Tahir, 46, turut berniat agar sesiapa yang menjumpainya adalah orang yang benar-benar susah dan memerlukannya.

“Tetapi tidak sangka, rezeki masih milik saya,” kata Suraya Mohd Tahir, 46, yang berkongsi kisah terjumpa semula gelang emas miliknya selepas lebih setahun hilang.

Menceritakan semula kejadian itu, Suraya berkata, gelang emas bernilai hampir RM4,000 itu dibelinya hasil titik peluhnya selepas berbelas tahun berniaga nasi lemak di depan rumahnya di Seksyen 30, Shah Alam, Selangor sejak 2004.

Gelang emas itu dibelinya pada awal Februari tahun lalu itu dan hanya sempat dipakai dua kali sebelum anak bongsunya, Nur Ilya Elisya Ahmad Rozaidin, 23, terbuang beg kertas berisi barang kemas miliknya itu.

“Secara tidak sengaja dia terbuang beg kertas ketika mengemas biliknya. Dia juga serba salah dan memberikan RM1,000 sebagai ganti rugi.

“Tetapi siapa sangka, rua-rupanya beg kertas itu tidak dibuang sebaliknya disimpan di dalam beg yang berlainan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ibu dua kepada anak itu berkata, kisah itu juga dirahsiakan mereka berdua kerana tidak mahu ahli keluarga yang lain menyalahkan anak bongsunya itu.

“Ada juga suami tanya mana gelang yang saya beli itu. Saya memberi alasan gelang itu sudah putus dan tidah boleh pakai,” katanya yang terjumpa semula gelangnya itu pada Isnin lalu.

Bercerita lanjut, dia mahu memberikan semula RM1,000 yang diberikan anak bongsunya itu.

“Saya sudah anggap gelang ini tiada dan mahu menjualnya kerana sudah ada barang kemas baru hasil wang hadiah daripada anak-anak sempena hari jadi saya, 10 Mac lalu.

“Terdetik hati nak mengemas bilik tempoh hari lalu, tak sangka terjumpa kembali gelang emas itu sehingga menggigil badan saya kerana terkejut,” katanya.

Terdahulu, perkongsian yang dimuat naiknya di Facebook (FB) Kami Suri Rumah mendapat perhatian pembaca sehingga mendapat lebih 3,000 tanda suka setakat ini.

Menerusi perkongsian itu, rakan halaman FB, Roshidah Abu Hassan, turut berkongsi kisah sama pernah terbuang cincin berlian bernilai RM25,000 miliknya ke dalam tong sampah namun sempat menyelamatkannya.

Selain itu, rakan lain, Afeeqah Razah turut berkongsi barang kemasnya turut hilang di halaman rumah namun dijumpai ibunya selepas 10 tahun.