Raut tenang bagai tidur

Kuala Lumpur: “Menitis air mata kami kerana Allah SWT cukup memuliakan jenazah hamba-Nya yang beramal soleh dan mulia seperti arwah Datuk Ismail Kamus serta pelawak, Abam Bocey.

“Jenazah Datuk Ismail Kamus cukup lembut, mudah diuruskan dan wajahnya tenang seperti sedang tidur. Wajah arwah Abam Bocey pula kelihatan berseri ketika diwudukkan,” kata Pengasas Skuad Pengurusan Jenazah (SPJ) Malaysia, Muhammad Rafieudin Zainal Rashid.

Menurut beliau, kemuliaan yang dianugerahkan kepada kedua-dua jenazah itu menginsafkan dirinya dan sukarelawan pertubuhan berkenaan.

“Saya menjadi orang terakhir mencium arwah (Datuk Ismail Kamus) sebelum menutup wajahnya.

“Perasaan sebak sukar digambarkan ketika menutup wajah arwah. Malah, saya tidak mampu mengikat tali kafan di bahagian kepala arwah kerana terlalu sebak.

“Rakan setugas terpaksa membantu mengikatnya dan perasan ini sangat jarang saya alami setiap kali menguruskan jenazah,” katanya.

Menurut Muhammad Rafieudin, dia cukup bersyukur diberikan amanah untuk menguruskan jenazah arwah Ismail Kamus.

Muhammad Rafieudin turut berkongsi pengalamannya menguruskan satu jenazah digelar ‘pemburu Subuh yang istiqamah’ pada 2017.

“Sepanjang hayatnya, arwah tidak pernah meninggalkan solat Subuh berjemaah sama ada di masjid atau surau.

“Wajah arwah kelihatan sangat tenang dan seperti sedang tidur.

“Saya difahamkan, arwah dijemput Ilahi ketika sedang bersiap untuk solat berjemaah di surau berhampiran rumahnya,” katanya.

Menurut Muhammad Rafieudin pada hari kematian arwah juga, hujan lebat melanda.

“Apa yang berlaku cukup membuktikan kehebatan serta keagungan Allah SWT apabila air hujan tidak bertakung dalam liang lahad arwah sedangkan lima liang lahad yang lain ditakungi hujan.

“Ini antara hikmah yang Allah SWT tunjukkan sebagai pedoman untuk kita semua meningkatkan lagi ketakwaan kepada-Nya,” katanya.