M40 terima bayaran BPN 2.0 Isnin ini

BAYARAN Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) fasa kedua untuk kategori M40 akan dibuat pada 25 Januari ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bayaran berkenaan adalah meliputi mereka yang telah lulus rayuan.

“Bagi mereka yang tiada akaun bank atau yang gagal kredit, penunaian boleh dilakukan di Bank Simpanan Nasional (BSN) seawal 25 Januari ini,” katanya dalam Laporan Laksana ke-37 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (Kita Prihatin), hari ini.

Menurutnya, bayaran untuk penerima B40 sudah mula dibuat mulai hari ini.

“Secara keseluruhannya, fasa kedua BPN 2.0 akan meletakkan RM2.38 bilion ke dalam tangan lebih 11.06 juta penerima, merangkumi 5.82 juta penerima individu bujang serta 5.24 juta penerima isi rumah,” katanya.

Dalam pada itu, bagi bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) 2.0, Menteri Kewangan berkata, semakan permohonan baharu dan rayuan sedang melalui proses semak silang antara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta keputusan akan diumumkan dalam masa terdekat.

GKP adalah bantuan kewangan secara one-off berjumlah RM3,000 kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang berkelayakan bagi meringankan beban kewangan perniagaan yang dihadapi ekoran penularan wabak Covid-19. Di samping itu, bantuan ini bermatlamat meningkatkan produktiviti pengeluaran dan perkhidmatan demi kelangsungan PKS mikro.

Setakat ini, hampir 850,000 PKS mikro telah menerima GKP dan GKP 2.0, dengan jumlah bantuan kewangan keseluruhan sebanyak RM2.55 bilion.