Lima sektor ada permintaan

INDUSTRI teknologi maklumat, makanan dan minuman, sains dan teknologi serta sektor kerajaan antara lima pekerjaan mendapat permintaan tertinggi direkodkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, baru-baru ini.

Agensi mencari kerja, Jobstreet.com mendedahkan lima sektor itu masih aktif mengambil pekerja sepanjang tempoh PKP.

Berdasarkan kajian dijalankan, Jobstreet mendapati wujud peningkatan permohonan kerja berbanding tahun sebelumnya bagi lima sektor utama itu.

“Teknologi maklumat meningkat 129 peratus, makanan dan minuman (112 peratus), sains dan teknologi pula pertambahan 65 peratus, kerajaan (51 peratus) serta kesihatan dan keselamatan 43 peratus,” kata agensi itu dalam kenyataannya kepada Harian Metro.

Jobstreet memaklumkan lebih 74 juta carian pekerjaan di Google direkodkan pada Mac lalu di Malaysia.

Ini menunjukkan tambahan 13 peratus sebelum Covid-19 manakala 80 peratus lagi menjadikan JobStreet platform rujukan utama untuk mencari tempat kerja.

“Berdasarkan laporan baru-baru ini oleh JobStreet, terdapat lonjakan pencarian pekerjaan berkaitan perisian, teknologi maklumat dan pembuatan.

“Sektor perisian merekodkan peningkatan 250 peratus manakala teknologi maklumat dan pembuatan mencatat peningkatan 40 peratus ketika krisis Covid-19,” katanya.

Menurutnya, daripada 5,000 pencari kerja, lebih 50 peratus masih aktif mencari dan memohon pekerjaan sehingga hari ini.

“Kami menemu bual 1,000 majikan melalui kajian dijalankan dan mendapati 37 peratus daripada mereka menyatakan akan mengambil pekerja dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.

“Selain itu, 13 peratus majikan menunjukkan mereka perlu mengambil pekerja baru kerana pandemik Covid-19.

“Kami meramalkan majikan terus merekrut pekerja baharu yang akan membantu mereka membina semula perniagaan,” katanya.

Menurutnya, ketika negara berdepan fasa pemulihan akibat Covid-19, 37 peratus majikan menunjukkan mereka bakal mengambil pekerja baharu dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Berdasarkan kajian, kami menjangkakan kemungkinan besar bidang diminati dalam enam bulan akan datang adalah sektor pentadbiran atau sumber manusia, penjualan dan perkhidmatan pelanggan serta teknologi maklumat.

“Kami percaya peningkatan pengambilan pekerjaan ini didorong syarikat yang ingin membina semula perniagaan mereka dengan mengambil tenaga kerja baharu,” katanya.

Sebelum ini, agensi itu mendedahkan lebih daripada dua juta rakyat Malaysia dijangka menganggur berikutan impak penularan pandemik Covid-19.

Pengurus Negaranya Gan Bock Herm berkata, berdasarkan kajian JobStreet.com pada Mei lalu, seorang daripada lima rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan disebabkan penularan wabak itu manakala 35 peratus mengalami pengurangan gaji.

Meskipun begitu, katanya, majikan di negara ini masih mengambil pekerja baharu dan ia dorongan kepada syarikat yang masih mencari bakat berkemahiran.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasarannya Ramesh Rajandran berkata, melalui pergerakan terhad PKP disebabkan penularan Covid-19, JobStreet.com menawarkan pengambilan pekerja secara maya.

Beliau berkata, ia kaedah terkini dan terbaik untuk memastikan proses pengambilan pekerja berjalan sambil melindungi syarikat pencari kerja dan calon.

“Sebagai rakan kongsi mantap kepada majikan dan pencari kerja, JobStreet.com melancarkan kempen #TogetherAhead yang dilaksanakan khas untuk menawarkan pekerjaan kepada mereka di waktu genting ini.

“Melalui inisiatif ini, kami berusaha menghubungkan majikan dan calon yang mencari serta menawarkan peluang pekerjaan di JobStreet,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berusaha memastikan platform JobStreet mempunyai semua peluang dan sumber untuk membantu mereka meneruskan kehidupan terbaik dalam pekerjaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan