Kembara RM222 juta

Washington: Tiga lelaki sanggup membayar AS$55 juta (kira-kira RM222.5 juta) seorang untuk menjadi kru penerbangan swasta pertama untuk melawat stesen antarabangsa angkasa lepas (ISS) ditawarkan Axiom Space, lapor Washington Post.

Misi akan diketuai oleh bekas angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (Nasa) yang kini berkhidmat sebagai Naib Presiden Axiom Space, Michael Lopez-Alegría.

Beliau yang pernah menyertai penerbangan ke angkasa lepas sebanyak empat kali sepanjang berkhidmat dengan Nasa akan bertindak sebagai komander.

Ia sekali gus menyaksikan beliau sebagai individu pertama yang mengetuai penerbangan komersial pertama ke angkasa lepas.

Tiga kru itu adalah ahli perniagaan dan pelabur bukan berasaskan keuntungan dari Amerika Syarikat (AS), Larry Connor sebagai juruterbang; manakala dua lagi adalah pelabur Kanada, Mark Pathy dan ahli perniagaan Israel, Eytan Stibbe.

Bekas pengarah program stesen angkasa lepas Nasa, Mike Suffredini berkata, ia adalah lawatan swasta pertama ke ISS.

Sementara itu, Lopez-Alegria berkata, mereka bertiga adalah individu yang mahu pergi ke angkasa dan pihaknya menyediakan peluang itu.

Kru penerbangan pertama itu akan berada di ISS selama lapan hari dan perjalanan dijangka akan mengambil masa satu ke dua hari untuk sampai ke sana.

Mereka akan menaiki kapal angkasa lepas SpaceX Dragon yang dilancarkan dari Cape Canaveral di Florida, Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, ketiga-tiga penumpang itu diwajibkan lulus ujian kesihatan dan menjalani latihan selama 15 minggu sebelum dibenarkan menyertai misi berkenaan.

Rusia sebelum ini sudah memperkenalkan pelancongan ke angkasa lepas sejak 2001.

Syarikat-syarikat angkasa lepas lain seperti Virgin Galactic dan Blue Origin juga merancang membawa pelanggan yang mahu menyertai pengalaman ke angkasa lepas.

Bagaimanapun, tawaran syarikat itu dilaporkan hanya merangkumi perjalanan ke angkasa lepas dan pulang ke bumi.

Tahun lalu, aktor Tom Cruise disebut-sebut sebagai seorang kru pesawat itu dan pegawai atasan Nasa mengesahkan dia berminat untuk membuat penggambaran di ISS.