Gandingan selepas sedekad

SIAPA sangka, perkenalan selama sedekad kini menyatukan mereka. Daripada perkenalan sebagai teman biasa, sekarang Siti Nordiana dan Nubhan bersatu dan menterjemahkan kisah ‘cinta’ mereka dalam lagu baharu, Sekali Lagi.

Namun, kisah percintaan digarap itu hanyalah jalan cerita dalam lagu berkenaan, hasil ciptaan Siti Nordiana dan seorang lagi komposer dikenali, Sepet.

Siti Nordiana atau mesra disapa dengan panggilan Nana berkongsi kisah di sebalik penghasilan single duet itu bersama sahabat baiknya, Nubhan.

“Saya pilih Nubhan sebab kami ada keserasian dari segi suara. Kami pun memang dah lama saling mengenali antara satu sama lain dan kalau ada persembahan pentas, saya selalu juga mengajak dia untuk berduet,” katanya.

NANA anggap ini masa sesuai bekerjasama dengan Nubhan yang sudah lama tidak keluarkan single baharu.
NANA anggap ini masa sesuai bekerjasama dengan Nubhan yang sudah lama tidak keluarkan single baharu.

Tambah Nana, dia turut melihat kepada aspek masa yang dianggap bersesuaian memandangkan Nubhan juga sudah lama tidak keluar dengan single baharu.

“Dia pun dah lama tak keluar dengan single. Jadi, saya rasa bahawa ini adalah masa yang sesuai. Selain itu, Nubhan juga senang untuk bekerjasama,” katanya.

Bagi Nubhan, peluang yang ditawarkan Nana umpama rezeki yang datang bergolek kepadanya.

“Saya terkejut juga ketika ditawarkan untuk bekerjasama dalam lagu ini. Tapi, bila Nana sendiri rasa kami sesuai untuk berduet, saya anggap ini adalah satu peluang yang besar buat saya dan rasa sangat bertuah.

“Nama dia juga kini berada di kemuncak. Jadi, diharapkan kerjasama ini akan menjadi titik tolak untuk saya kembali aktif di dalam industri dan karier seni ini,” katanya.

Berkongsi mengenai strategi pemasaran lagu Sekali Lagi, Nana dan Nubhan tidak sekadar mempromosikannya sebagai lagu biasa, tetapi menggunakan kaedah lain yang lebih menyentuh emosi peminat.

“Untuk strategi pemasaran, kami menggunakan konsep drama pendek di YouTube dengan menggunakan judul sama. Ideanya adalah untuk memberi gambaran lebih mendalam mengenai jalan cerita lagu ini di samping menyentuh emosi peminat.

“Sebenarnya, sejak single sebelum ini iaitu Angkara lagi, saya dah gunakan konsep sebegini sebagai strategi pemasaran untuk memperkenalkan lagu baharu. Jadi, bila melihat keberkesanannya, saya teruskan untuk single kali ini,” kata Nana.

Cabaran dalam lakonan

Berbicara pengalaman berlakon dalam satu cerita romantik bersama sahabat sendiri bukanlah sesuatu yang mudah. Bagi Nubhan, ia benar-benar mencabar kemampuannya.

“Bekerjasama dengan kawan sendiri memang senang, tapi yang susahnya adalah untuk berlakon. Sejak berbincang di sesi bacaan skrip lagi, kami dah mula tergelak.

“Untuk beberapa babak romantik pun, rasanya berkali-kali juga ‘take’ yang diambil sebelum kami berjaya melakonkannya dengan baik. Namun, alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya.

Namun, kedekatan antara kedua-dua mereka sentiasa bersempadan memandangkan Nubhan juga berstatus suami orang.

“Isteri dia pun adalah kawan saya dan kami memang kenal antara satu sama lain. Jadi, tak timbul sebarang isu. Dia juga adalah antara pengkritik kami dan kerap berkongsi pendapat.

“Sebelum ini pun, saya pernah bekerjasama dengan penyanyi lelaki yang berstatus suami orang seperti Alif Satar. Tak jadi masalah pun kerana kami bekerja secara profesional,” katanya.

Yang pasti, lagu Sekali Lagi bakal menjadi karya yang membuka mata peminat untuk melihat sendiri kemampuan Nana bergandingan dengan Nubhan di samping menjadi platform buat Nubhan untuk kembali menyinar sebagai penyanyi.