Hampir buat penemuan signifikan COVID-19, penyelidik ditemui mati ditembak

Bing Liu ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala, leher, badan dan kaki. – Gambar/School of Medicine/University of Pittsburgh

PITTSBURGH: Seorang profesor di University of Pittsburgh, Pennsylvania, yang hampir membuat 'penemuan signifikan' berkaitan COVID-19, ditemui mati pada hujung minggu lalu.

Kenyataan Jabatan Polis Ross menyebut Bing Liu, 37, ditemui di rumahnya pada Sabtu, dengan kesan tembakan di kepala, leher, badan dan kaki.

Penyiasat turut menemui mayat seorang lelaki yang belum dikenal pasti di dalam sebuah kereta di luar rumah Liu, dan percaya lelaki itu menembak dan membunuh Liu sebelum membunuh diri.

"Siasatan awal menunjukkan kedua-dua mereka saling mengenali, tetapi tidak ada bukti yang menunjukkan ia satu jenayah kebencian," kata jurucakap polis, Detektif Brian Kohlhepp.

Liu, yang memperoleh ijazah kedoktoran dari Universiti Nasional Singapura, pernah bertugas sebagai penyelidik di Carnegie Mellon University, Pennsylvania, sebelum memulakan tugas di Fakulti Perubatan, University of Pittsburgh.

Pihak universiti menzahirkan rasa sedih dengan kematian tragis Liu, yang disifatkan sebagai seorang penyelidik yang berdedikasi dan disenangi ramai.

"Liu hampir membuat penemuan yang sangat penting untuk memahami mekanisme selular yang mendasari jangkitan SARS-CoV-2 dan asas selular dari komplikasi tersebut," kata universiti tersebut menerusi satu kenyataan.

Universiti itu juga memaklumkan anggota fakulti kini dalam usaha untuk menyelesaikan kajian Liu sebagai satu penghormatan kepadanya.