PEMINAT mula memberi perhatian terhadap Adam Lee menerusi lakonannya dalam drama rantaian, Adam Chempaka yang ditayangkan di TV3 tahun lalu.
Terkini, Adam, 26, sekali lagi menarik tumpuan peminat dengan lakonannya menerusi drama rantaian, Budak Tebing yang berakhir tayangannya di TV3, Khamis lalu.
Bersyukur dengan populariti dikecapinya sekarang, pelakon bernama sebenar Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee ini mengakui seronok terbabit dalam drama itu.
“Alhamdulillah, saya dapat peluang berlakon drama ini menerusi tawaran penerbitnya, Jalena Rejab. Dia tengok saya di Instagram dan minta hadir ke pejabatnya.
“Saya dan pelakon lain yang terpilih tak perlu jalani sesi uji bakat dan terus dibawa masuk ke sesi perbincangan untuk watak masing-masing.
“Jalena pernah tonton lakonan saya. Itulah sebabnya dia panggil saya untuk bergandingan dengan pelakon lain. Semuanya hebat dan mudah berlakon dengan mereka,” katanya.
Adam juga dikenali menerusi satu lagi drama bersiri, Rindu Yang Terindah lakonan bersama Amelia Henderson dan Redza Rosli yang kini ditayangkan di TV3.
Adam mengakui jumlah pengikutnya di media sosial kini meningkat berbanding dahulu. Bagaimanapun, dia tidak boleh berasa selesa dan perlu terus bekerja kuat memenangi hati peminat.
“Saya lihat orang sukakan Budak Tebing kerana ceritanya tak klise dan ada pengajaran. Sebenarnya tak sangka juga penonton suka dan populariti saya pun ada perubahan,” katanya.
Mungkin tidak ramai yang tahu, Adam sebenarnya berlakon sejak berusia 18 tahun, tetapi gagal menyerlah di mata penonton.
“Mulanya saya ada kerja tetap tapi apabila mula berlakon, timbul minat pula, tapi untuk dapat peluang memang susah. Pelakon muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan kerana setiap hari ada orang baharu.
“Ia persaingan yang sihat, cuma realitinya memang susah untuk bertahan. Tawaran kurang, jadi sumber pendapatan pun kurang. Akhirnya saya buat keputusan kembali bekerja sebagai penyelia gimnasium di Seri Kembangan,” katanya.
Mujurlah selepas setahun berhenti berlakon, pengarah Nizam Zakaria menawarkan Adam untuk berlakon telefilem arahannya.
“Alhamdulillah selepas itu saya bertahan sampai sekarang. Saya sangat berterima kasih dengannya. Peminat pula mula kenal saya menerusi drama Pengantin Musim Salju yang turut dibintangi Alif Satar.
“Sejak itu orang dah mula beri perhatian kepada saya. Saya pula fokus, dapat watak kedua pun sudah memadai. Saya seterusnya diberikan watak utama untuk Adam Cempaka,” katanya yang kini menanti peluang berlakon filem sekiranya ada.
Adam sepatutnya terbabit dengan penggambaran drama rantaian untuk RTM, namun ditangguhkan apabila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19.
“Untuk mengisi masa, saya banyak menonton filem tempatan dan luar negara bagi mantapkan lakonan. Saya juga ambil positif hikmah PKP ini.
“Sekurang-kurangnya saya boleh luangkan masa dengan keluarga serta dapat buat amal ibadat,” katanya.