‘Ada lompang dalam akta’

Sudah puluhan tahun berlaku namun isu pencemaran sungai akibat pelepasan najis babi daripada ladang ternakan masih belum selesai.

Bukan saja sungai malah masyarakat sekitar turut terkesan akibat pencemaran bau dan isu lain seperti kesihatan.

Bila mahu selesai? Tepuk dada tanya selera.

Ikuti wawancara Pakar Kualiti Air dan Permodelan Kualiti Air Ir DR ZAKI ZAINUDIN dengan Pengarang Berita NAZARALI SAERIL berkaitan isu ini.

DR Zaki. FOTO BERNAMA
DR Zaki. FOTO BERNAMA

Apa isu utama pencemaran akibat ternakan khinzir?

Antara isu utama pencemaran membabitkan industri ternakan khinzir ialah beban pencemaran organik dibebaskan industri terbabit.

Laporan rasmi Jabatan Alam Sekitar (Jas) pada 2018 menyebut, 217 tan beban pencemaran oksigen biokimia (BOD) dilepaskan industri penternakan khinzir ini dalam sehari.

Jumlah beban pencemaran BOD ini ialah 33.2 peratus daripada keseluruhan pencemaran yang direkodkan.

Ia juga adalah yang kedua tertinggi selepas pencemaran akibat sisa kumbahan yang merekodkan 242 tan beban pencemaran BOD sehari atau 37 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Untuk rekod, industri pertanian menyumbang 133 tan sehari, industri pembuatan menyumbang 55 tan sehari manakala pasar basah enam tan sehari.

Selain beban pencemaran BOD, daripada segi pencemaran Beban Pepejal Terampai (SS), industri ternakan menyumbang beban cemar tertinggi.

Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2018 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyebut pada 2018, anggaran penghasilan beban pencemaran bagi SS adalah 835 tan sehari yang mana aktiviti ternakan babi kekal sebagai penghasil beban SS utama iaitu 450 tan sehari (54 peratus).

Ia diikuti loji kumbahan dengan 303 tan sehari (36 peratus), industri berasaskan pertanian dengan 39 tan sehari (lima peratus), industri pembuatan dengan 35 tan sehari (empat peratus) dan pasar basah dengan lapan tan sehari (satu peratus).

Daripada segi lokasi pencemaran, laporan Kualiti Alam Sekeliling 2018 menyebut, Johor menyumbang beban pencemaran BOD tertinggi membabitkan industri ternakan khinzir iaitu 190 tan sehari.

Ia diikuti Perak dengan 119 tan sehari, Selangor dengan 96 tan sehari, Pulau Pinang dengan 65 tan sehari, Sabah 31 tan sehari dan Sarawak dengan 29 tan sehari.

Beban BOD untuk lain-lain negeri termasuk Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya kurang daripada 27 tan sehari.

LAPORAN Harian Metro bertarikh 31 Disember lalu berkaitan pencemaran di empat negeri akibat penternakan babi. FOTO Arkib NSTP
LAPORAN Harian Metro bertarikh 31 Disember lalu berkaitan pencemaran di empat negeri akibat penternakan babi. FOTO Arkib NSTP

Apa jadi dengan hidupan di sungai yang mungkin turut menjadi sumber makanan masyarakat sekitar?

Apabila sisa-sisa organik berlebihan masuk ke sungai, ia boleh menyebabkan kejatuhan paras oksigen di dalam sungai berkenaan.

Apabila sisa ini terurai di dalam sungai, proses penguraian itu sendiri akan menggunakan oksigen.

Oleh itu, jika terlalu banyak sisa organik dalam sesebuah sungai, ditambah pula jika sungai itu kecil, maka paras oksigen di dalam sungai jatuh.

Akibatnya, spesies akuatik terjejas atau mungkin tiada hidupan lagi di sungai berkaitan.

Pereputan sisa organik ini boleh meningkatkan paras ammonia dalam sungai dan jika ammonia ini terlalu tinggi, ia juga boleh menjejaskan hidupan akuatik.

Tindakan kurang tegas terhadap isu babitkan pencemaran akibat pelepasan najis babi?

Untuk industri lain, contohnya punca pencemaran kumbahan dan industri, sebelum air sisa daripada industri ini dilepaskan ke sungai, sisa air ini perlu dirawat.

Ia untuk memastikan piawaian ditetapkan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dipatuhi.

Masalah dalam industri ternakan khinzir ialah, ada lompang dalam akta ini sama ada ia terpakai untuk industri terbabit atau sebagainya.

Bagaimanapun, ada negeri seperti Selangor yang menetapkan dengan jelas yang mana industri penternakan tertakluk di bawah akta Lembaga Urus Air Selangor (Luas).

Kesan terhadap sungai yang tercemar?

Kesan kepada sungai bergantung kepada jumlah pencemaran dan saiz sungai.

Contoh, jika banyak pencemaran atau ladang khinzir tertumpu dalam kawasan sama dan dilepaskan di sungai sama, sungai akan terkesan dengan teruk kerana beban pencemaran besar selain sungai kecil.

Jika sungai besar, luas dan punca pencemaran tidak banyak, maka kesannya, sungai kurang terjejas dan tiada masalah untuk pulih secara semula jadi.

Sungai ada kebolehan untuk pulih secara semula jadi jika ada pencemaran.

Cuma isunya, jika pencemaran terlalu teruk, maka sungai tidak boleh menerimanya menyebabkan ia rosak.