Rakyat sedang perhatikan kita!

Kuala Lumpur: Isu kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di Pulau Langkawi kembali hangat diperkatakan umum selepas pendedahan Skuad Khas Harian Metro mengenai sindiket yang didakwa dilindungi anggota polis.

Laporan khas bersiri bermula 3 September lalu mendedahkan bagaimana satu organisasi dadah terancang didalangi ‘orang dalam’ yang dikatakan menjadi punca utama kenapa kegiatan haram di pulau peranginan terkemuka itu gagal dikekang secara total.

Susulan pendedahan berkenaan, Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim memaklumkan dua anggota polis dari Balai Polis Kuah ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan itu.

Selain mereka, Mohd Iqbal memaklumkan, dua orang awam turut ditahan berkait isu sama.

Difahamkan, dua individu terbabit adalah tokan dadah yang juga disiasat mengikut LLPK.

Kita ucapkan jutaan tahniah atas komitmen dan kesungguhan Mohd Iqbal dalam menyahut seruan pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam memerangi najis dadah tanpa berkompromi biarpun dilakukan orang sendiri.

Dengan pendedahan itu juga, mata seluruh rakyat Malaysia sedang memberi tumpuan kepada Mohd Iqbal dan PDRM mengenai apakah langkah bakal diambil mereka dalam menyelesaikan isu dibangkitkan. Rakyat sedang memerhatikan anda!

Diharapkan siasatan serta tindakan lebih menyeluruh dilakukan PDRM dan IPD Langkawi dalam menyelesaikan masalah ‘pengkhianatan’ yang berlaku dalam pasukan berkenaan.

Untuk rekod, Skuad Khas Harian Metro sudah mendedahkan identiti Mr N yang juga anggota polis yang terbabit secara langsung dalam ‘memayungi’ kegiatan dadah di pulau itu yang hanya dilakukan konconya manakala tokan baharu akan ditahan. Moga siasatan menyeluruh dapat dilakukan.

Sedikit tip buat mereka, dua anggota polis dari Balai Polis Kuah yang ditahan itu mengetahui games disusun Mr N. Walaupun mereka suspek namun siasatan boleh bermula di situ bagi merungkai pembabitan Mr N.

Janganlah hanya satu atau dua kambing hitam dikorbankan bagi menutup jejak Mr N dan rangkaiannya itu. Kita percaya siasatan menyeluruh akan dilakukan tanpa kompromi.

Berkait isu sama, kita ingin kongsikan sedikit senario atau gambaran lebih besar yang belum didedahkan Harian Metro dalam laporan bersirinya itu.

Mr N adalah anggota polis yang juga individu bertanggungjawab merekrut Mat Nahar yang juga tokan dadah terbesar atau Pablo Escobar Langkawi sebagai sumber atau istilah polisnya ‘sera’ atau bahasa kampungnya ‘hantu polis.’

Mat Nahar didaftarkan sebagai sumber pada 2012 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan menjadi orang hubungan Mr N sejak itu hinggakan dia mampu membina empayar dadahnya sendiri.

Namun, Mat Nahar sudah meninggal dunia dalam kebakaran pada April 2019 namun kematiannya juga satu misteri yang masih belum terungkai.

Malah, Skuad Khas Harian Metro pada 4 September lalu juga mendedahkan laporan siasatan punca kebakaran rumah Mat yang dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menemui unsur khianat atau istilahnya multiple fire origin di lokasi kejadian.

Susulan pendedahan itu juga, kita difahamkan IPD Langkawi kini sedang meneliti semula laporan kebakaran, forensik dan bedah siasat dalam insiden berkenaan. Moga ia dapat merungkai persoalan dibangkitkan.

Sejujurnya, pendedahan dilakukan Skuad Khas Harian Metro bukanlah berniat membela kematian Mat Nahar sebaliknya bagi membuka mata masyarakat bahawa pembabitan anggota polis dalam melindungi sindiket dadah di pulau peranginan itu kerana ia masih berleluasa.

Kita percaya, polis Langkawi pimpinan Mohd Iqbal yang diketahui sangat disenangi dan disayangi rakyat Langkawi akan menjalankan siasatan menyeluruh tanpa kompromi dalam menyelesaikan isu dibangkitkan.

Diulangi, rakyat sedang memberi tumpuan terhadap isu itu dan sudah pasti setiap langkah dan tindakan polis IPD Langkawi serta PDRM akan dinilai sama ada benar-benar ‘ikhlas’ membersihkan jabatan daripada anasir buruk atau sebaliknya.

Sama-sama kita nantikan hasilnya. Apa yang pasti, mentari pasti muncul selepas hujan!