Masa selesaikan pengajian

WALAUPUN lagu Lelaki Di Telefon kini berjaya melonjakkan nama Afieq Shazwan dalam karier nyanyiannya, namun gosip cinta yang terpalit masih tidak hilang.

Berterusan dikait dengan penyanyi Wani Kayrie, jejaka berusia 23 tahun ini berkata, biarlah masa menentukan dan dia takkan cepat melatah.

“Kisah itu sudah lebih dua tahun. Bagi saya, terpulanglah siapa nak terus percaya dan sebaliknya kerana ia pilihan masing-masing.

“Namun, kami masih rapat dan baik hingga kini. Cuma, sekarang saya nak fokus pada pelajaran,” katanya.

Menurut Afieq, dalam tempoh negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, masanya lebih ditumpukan kepada pelajaran berbanding kerjaya seni.

“Sekarang, untuk karier seni saya nampaknya perancangan lain perlu dibuat dahulu. Jadi, dalam mencari strategi sesuai, saya fikir inilah masanya untuk selesaikan pengajian ijazah diikuti.

“Maksudnya, tidak perlulah saya nak menangguhkan belajar lagi selepas ini. Insya-Allah, melihat pada banyaknya masa yang saya ada sekarang, lebih baik habiskan saja,” katanya yang mengikuti pengajian ijazah Perniagaan di sebuah universiti swasta.

Mengulas juga aktiviti terbaharunya, Afieq berkata, dia kini mula sibuk membantu ibunya berniaga daging dendeng di rumah.

“Saya ada terfikir nak cuba berniaga sebab aktiviti seni pun akan ditangguh lebih lama. Cuma, tak tahu nak jual apa dan tengok ibu sibuk memasak daging dendeng.

“Nak dijadikan cerita, saya cubalah tanya-tanya kepada peminat, jika ada yang nak mencuba. Tak sangka ada sambutan dan sekarang, saya adalah peniaga daging dendeng,” katanya.

LAGU Lelaki Di Telefon melonjakkan nama Afieq Shazwan
LAGU Lelaki Di Telefon melonjakkan nama Afieq Shazwan

Menurut Afieq, memandangkan sekarang Ramadan dan lebih banyak duduk di rumah, dia turut bercadang mahu memulakan aktiviti menghias untuk persiapan Aidilfitri.

“Saya tahu kita baharu hampir dua minggu berpuasa. Tetapi, boleh juga mulakan aktiviti mencantikkan rumah mulai sekarang walaupun Aidilfitri tahun ini hanya dirai bersama keluarga saja.

“Walaupun takkan ada tetamu yang datang, saya fikir rumah tetap kena dicantikkan. Apatah lagi, kita tinggal di situ. Jadi, biarlah cantik untuk keluarga,” ujarnya.

Bercerita mengenai persiapan baju raya, Afieq berkata, dia sangat bersederhana dan setiap tahun Aidilfitri dia jarang membeli atau menempah baju baharu.

Menurut pelakon drama Elly & Epit ini, dia sering berulang memakai baju Melayu sedia ada dan hingga kini perkara itu tidak pernah disedari peminatnya dan dipersoalkan.

Afieq berkata, pakaian lelaki tidak banyak beza. Jadi, jika pakaian lama masih cantik dan boleh dipakai, kenapa nak membazir.

Sabar duduk di rumah

Jika ikutkan hati, Afieq mahu melakukan pelbagai aktiviti sosial terutama sibuk bekerja, berjumpa rakan dan bersiar-siar.

Namun, selepas mendapat maklumat yang jelas mengenai penularan wabak Covid-19, pemenang tempat ketiga Big Stage pada 2018 ini enggan merisikokan keselamatan diri.

“Mula-mula, rasa geram juga dan susah nak hadam kenapa segala aktiviti sosial yang menjadi rutin selama ini perlu dilupakan seketika. Namun, apabila mengetahui situasi sebenarnya, saya jadi takut.

“Mujurlah ada sepupu yang bertugas di barisan hadapan dan banyak berkongsi maklumat berkaitan Covid-19. Ternyata, pandemik ini memberi cabaran yang besar.

“Jadi, demi keselamatan diri dan kesihatan adalah lebih baik duduk di rumah saja walaupun ketika ini kerajaan memberi kelonggaran dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Banyak masa yang ada itu, cubalah diisi dengan pelbagai aktiviti berfaedah dan kreatif,” katanya.

AFIEQ kini mula sibuk membantu ibunya berniaga daging dendeng di rumah.
AFIEQ kini mula sibuk membantu ibunya berniaga daging dendeng di rumah.