Bukan perkampungan haram, tanah dah beli – DPEIN

“KAMI bukan buat perkampungan haram, sebaliknya tanah itu dibeli dan dibangunkan untuk pertanian,” kata Pengerusi Dewan Perkasa Ekonomi Islam Nusantara (DPEIN), Muhammad Nuruddin Amiron.

Muhammad Nuruddin memberi reaksi itu bagi menjelaskan serbuan dilakukan sepasukan polis di kawasan penempatan milik DPEIN di Ulu Rening, Batang Kali, semalam, yang turut membawa kepada penahanan 238 individu termasuk kanak-kanak dan bayi.

Muhammad Nuruddin berkata, pihaknya membeli tanah seluas kira-kira 2.4 hektar itu untuk tujuan pertanian yang akan diusahakan sendiri oleh kakitangan DPEIN.

Bagaimanapun, katanya, urusan pembelian tanah masih lagi dalam proses oleh pihak peguam yang belum selesai sepenuhnya disebabkan penularan koronavirus baharu (Covid-19) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“DPEIN adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar. Kami membuka tanah pertanian itu dan mula masuk pada Februari lalu iaitu sebelum PKP dilaksanakan kerajaan.

“Apabila PKP bermula, kami terkandas di dalam. Saya sebagai pengerusi mengarahkan mereka supaya tidak keluar bagi mengelak terdedah dengan jangkitan Covid-19.

“Alhamdulillah, stok makanan juga mencukupi untuk kami. Dalam masa yang sama kami mengerjakan tanah di sini,” katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Hulu Selangor, semalam.

POLIS membuat kawalan terhadap 234 tahanan termasuk wanita, kanak-kanak dan bayi yang ditahan kerana didakwa melanggar PKP. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
POLIS membuat kawalan terhadap 234 tahanan termasuk wanita, kanak-kanak dan bayi yang ditahan kerana didakwa melanggar PKP. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Mengulas mengenai 238 individu yang ditahan polis itu, Muhammad Nuruddin berkata, kesemua mereka adalah kakitangan DPEIN dan ahli keluarga.

“Kebanyakannya dari Kuala Lumpur dan ada juga yang datang dari luar termasuk Negeri Sembilan, Johor dan sebagainya.

“Memang kami secara bekerjasama membuka tanah pertanian itu. Mungkin ada kekeliruan dalam kalangan orang kampung,” katanya.

Katanya, mereka merancang untuk keluar dan pulang ke tempat masing-masing sebaik PKP berakhir, namun akan ada beberapa orang yang tinggal di kawasan itu untuk menjaga tanah.

Semalam, polis melakukan serbuan di kawasan penempatan sementara yang dibuat menggunakan khemah di kawasan bukit dan hutan yang diteroka di Ulu Rening, pada 5 petang.

Seramai 238 individu iaitu 76 lelaki, 77 wanita dan 85 kanak-kanak serta bayi ditahan sebelum dibawa ke Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, untuk dokumentasi dan siasatan lanjut.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

    Berita berkaitan

    • 154 individu dari penempatan Ulu Rening didakwa [METROTV]

    • [UPDATE] Jais siasat cara hidup kumpulan di Ulu Rening

    • [UPDATE] Kumpulan DPEIN teroka hutan Ulu Rening

    • Polis serbu penempatan di Ulu Rening