Penuntut diminta kekal di kampus [METROTV]

SEMUA penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) diminta kekal berada di tempat masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam tempoh berkenaan kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi akan memastikan kebajikan dan makan minum mereka diutamakan.

“Selepas mendengar pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), maka kita memutuskan bahawa pelajar di IPT diminta terus kekal di universiti masing-masing.

“Kebajikan mereka dan makan minum akan ditanggung oleh kerajaan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri-menteri berkenaan pelaksanaan PKP di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pengajian Tinggi mencadangkan supaya membenarkan penuntut yang masih tinggal di asrama dan kolej untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing.

Ismail Sabri berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada tindakan dan usaha kerajaan memutuskan rantaian serta membendung penularan wabak Covid-19.

“Kita tidak mahu berlaku pergerakan besar-besaran yang mungkin jika dibenarkan akan terjadi kluster baru Covid-19.

“Saya harap pelajar semua faham kerana tindakan ini adalah untuk menjaga kepentingan mereka, keluarga dan masyarakat sekeliling apabila pulang ke kampung,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
    GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP