Penceroboh maut bergelut

SEORANG lelaki maut selepas bergelut dengan penjaga bangunan sarang burung walit dan anaknya di Kilometer 16, Jalan Jemaluang-Kota Tinggi di Mersing, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, suspek berusia 33 tahun itu dikatakan menceroboh bangunan itu untuk mencuri sarang burung walit bersama dua rakannya.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward berkata, penjaga bangunan sarang burung walit itu yang berusia 48 tahun dan anaknya yang berusia 17 tahun menerima maklumat berlaku pencerobohan ketika berada di rumah mereka di Kampung Wak Salam.

Katanya, dua beranak terbabit bergegas ke lokasi dan sebaik tiba itu mereka bertembung dengan tiga lelaki sedang menceroboh bangunan itu.

“Berlaku pergelutan dengan salah seorang penceroboh manakala dua lagi melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Cyril, akibat daripada pergelutan itu, suspek maut akibat kecederaan di kepala dan dada, manakala penjaga bangunan itu pula turut mengalami kecederaan di kepala dan lengan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Siasatan yang dijalankan berjaya menahan dua suspek yang melarikan diri itu di rumah masing-masing di sekitar Mersing.

“Susulan insiden itu, polis turut menahan dua beranak berkenaan dan mendapat perintah reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 392/397 kerana rompak dengan senjata.