Umur famili 1,042 tahun

London: Keluarga 12 beradik diiktiraf Guinness World Records kerana memiliki kombinasi usia paling tinggi di dunia.

Adik-beradik D’Cruz berasal dari Karachi, Pakistan berusia 75 hingga 97 tahun itu memiliki kombinasi usia 1,042 tahun.

Menerusi laporan portal Odditycentral.com, idea untuk menempa nama dalam rekod dunia itu bermula sebelum mereka mengadakan pertemuan tahunan pada 2018.

Adik bongsu, Genia, 75, menyedari jumlah umur mereka sesuatu yang luar biasa dan patut direkodkan dalam rekod dunia.

“Saya akan menulis surat kepada Guinness (World Records). Ini sesuatu yang menakjubkan,” katanya.

Bagaimanapun, adik-beradik D’Cruz yang lain hanya ketawa dan menganggap ia hanya gurauan adik bongsu mereka.

Namun, dua tahun kemudian, mereka menerima panggilan daripada Guinness World Records yang memaklumkan rekod jumlah usia mereka sudah dimasukkan ke dalam rekod dunia.

“Sukar untuk percaya pengiktirafan ini kerana biasanya orang tertinggi dan terpendek di dunia mendapat pengiktirafan.

“Saya bersyukur dengan pengiktirafan ini dan semua adik-beradik masih hidup,” katanya yang menetap di London.

Adik-beradik D’Cruz kini menetap di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada dan Switzerland dan berusaha untuk bertemu sekurang-kurangnya tiga kali setahun.

Namun, disebabkan Covid-19, mereka tidak dapat bertemu, tetapi menggunakan aplikasi Zoom untuk berhubung setiap hari pada jam 11 pagi.

Mereka akan bersembang mengenai kehidupan harian dan ia lebih merapatkan hubungan.