“SAYA terima banyak mesej yang memberi semangat, namun dalam masa sama banyak juga yang perli, ugut dan cakap macam-macam.
“Saya rasa sedih dan buat saya sedar bahawa dunia ini tak seindah yang kita bayangkan, ujian datang tapi saya percaya ujian ini hanya satu tujuan sebab Allah sangat sayang pada kita,” luah Ustaz Ebit Lew yang dibuat secara siaran langsung melalui laman sosial Facebooknya, hari ini.
Perkongsian beliau selama kira-kira 50 minit itu turut ditonton lebih 216,000 orang yang dilihat turut memberi komen semangat dan membina kepadanya.
“Dari umur 12 tahun saya buat kerja ini, saya bercita-cita untuk membantu seramai mungkin.
“Ramai orang yang hantar mesej beritahu ada orang yang tidur di bawah jambatan dan banyak lagi, saya sedih.
“Rasa macam perlu buat sesuatu dan tak akan kita tak buat apa-apa untuk mereka.
“Sebelum ini, saya sibuk berniaga, saya kena tunggu 20 tahun baru saya ada rumah sendiri, beli cermin mata untuk mak saya.
“Tetapi saya tak sempat untuk belanja mak saya makan sedap-sedap, jadi saya fikir apa salahnya kalau saya belanja orang lain makanan sedap,” katanya yang sedih kerana niatnya membantu disalah erti oleh sesetengah pihak.
Ebit berkata, dia akan meneruskan perjuangan dan menggunakan teknologi untuk menyampaikan kasih sayang.
“Walaupun kita tak pernah kacau orang, sentuh atau hina sesiapa, tetapi tetap orang kacau dan ugut cakap bukan-bukan, saya rasa sedih, ada rasa putus asa.
“Namun, saya percaya ini ujian Allah sama seperti saya berdakwah dulu, saya dihalau dan dimaki, tetapi apalah sangat yang kita lalui ini dengan apa yang dilalui oleh sahabat nabi.
“Erti hidup ini ialah bantu orang lain. Saya maafkan orang yang keji dan ugut saya baik orang biasa, orang besar, orang berkuasa, saya tak kisah sebab saya maafkan semua.
“Saya hidup sebab Allah dan selama ini bukan mereka yang beri saya makan, dulu pun saya dengan mak saya waktu susah bukan mereka yang tolong.
“Jadi saya tak boleh berhenti untuk bantu orang lain. Kita semua sebuah keluarga tidak kira bangsa dan agama.
“Saya percaya kalau bukan hari ini, suatu hari nanti dunia akan kembali seperti dulu, semua manusia saling sayang menyayangi,” katanya.
Beliau mengakhiri luahannya dengan membaca doa yang menyentuh hati dan dilihat turut mengalirkan air mata.