Seksanya sesak nafas kerana Covid-19

Kuala Lumpur: Bertarung 10 hari melawan virus Covid-19 bukanlah waktu singkat buat Wan E’reen Wan Hasan, apatah lagi hampir setiap hari melihat kematian pesakit lain di depan matanya ketika berada di wad kritikal.

Bagi ibu kepada tiga anak itu, menyaksikan mayat pesakit Covid-19 diusung dengan dibaluti beg mayat berwarna hijau membuatkannya tidak mampu untuk tidur lena pada setiap malam.

Baginya, dalam tempoh rawatan itu, ketiga-tiga puteranya yang masing-masing berusia setahun, 4 dan 10 tahun antara yang menjadi kekuatan dan semangatnya untuk terus melawan virus ‘pembunuh’ itu.

“Saya tetap lawan sakit itu dengan memperbanyakkan zikir dan tawakal ketika tempoh di dalam itu (wad kritikal) kerana memikirkan anak di rumah.

“Ketika jalani rawatan di wad kritikal empat hingga lima kali kena ambil darah dekat nadi. Doktor beritahu saya sudah berada dalam senarai pesakit akan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) jika oksigen tidak dapat lagi membantu.

“Ketika mendengar keputusan itu, saya hanya memikirkan nasib anak, bagaimana kalau tidak sempat jumpa dan kucup mereka,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

WAN E'reen Wan Hasan bersama tiga anak lelakinya yang menjadi sumber inspirasi menentang Covid-19.  FOTO ihsan Wan E'reen Wan Hasan
WAN E’reen Wan Hasan bersama tiga anak lelakinya yang menjadi sumber inspirasi menentang Covid-19. FOTO ihsan Wan E’reen Wan Hasan

Bercerita lanjut, Wan E’reen yang berusia 30-an berkata, antara simptom awal Covid-19 dihadapinya termasuk demam, sakit dada, batuk, tekak kering dan sakit belakang badan.

Katanya, keadaan kesihatan merosot sejak mendapat simptom awal pada 24 Disember lalu menyebabkan dia mengambil keputusan untuk menjalani ujian ‘rapid test kit’ atau RTK bagi mengesan Covid-19.

“Kebetulan cuti kerja pada 30 Disember itu dan saya mendapatkan RTK di institusi swasta dan keputusannya adalah positif.

“Ketika itu sudah mula sesak nafas dan suami terus hubungi 999 keesokan harinya supaya saya dapat jalani rawatan lebih cepat.

“Masa dalam ambulans doktor bertugas kerap tepuk dada sebab saya menggelupur tidak boleh bernafas seperti lemas,” kongsinya.

Wan E’reen berkata, pelbagai situasi meruntun emosi dialaminya ketika berada lima hari di wad kritikal sebelum dipindah ke wad biasa.

Katanya, katil di sebelahnya menempatkan wanita warga emas yang diserang strok dan terpaksa makan serta minum menggunakan tiub khas.

“Jururawat membantu membancuh susu dan apabila dia sesak nafas, apa yang dia hanya mampu buat adalah menguis-nguis kakinya pada tilam.

“Begitulah betapa seksanya apabila pernafasan jadi sempit. Bukan itu saja, di ruangan berbeza, hari keempat di wad kritikal saya terdengar seorang lelaki terjerit-jerit cakap sesak nafas.

“Lelaki itu mahu membunuh diri dan mengugut jika tidak dibenarkan pulang, dia mahu membuat laporan polis. Jururawat dan doktor membantu supaya dia tenang,” katanya.

Wan E’reen yang bekerja di sektor swasta, dibenarkan keluar hospital selepas disahkan bebas daripada Covid-19 itu pada 10 Januari lalu.

Namun, katanya, kesan sampingan daripada jangkitan virus berkenaan menyebabkan dia menghidap penyakit radang paru-paru (pneumonia).

“Rasa mengalah pada awalnya sebab setiap hari terpaksa telan 20 biji ubat dan perlu melakukan sendiri suntikan pencair darah.

“Keadaan diri tidak sama seperti dulu dan jangka masa untuk pulih mengambil masa lima bulan berdasarkan pengalaman doktor dan mungkin lebih,” katanya yang akan menjalani rawatan lanjut di Institut Perubatan Respiratori (IPR).

Menurutnya, sepanjang menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh itu, suami antara menjadi tulang belakang dalam menguruskan anak di rumah.

Katanya, insya-Allah dalam masa sebulan lagi dia boleh melayani anak seperti biasa dan buat masa sekarang masih tidak boleh buat kerja berat.

“Anak memang memahami dan faham ibunya sakit dan berdikari, baik yang kecil mahupun yang besar.

“Jadi, saya berharap orang ramai sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan terutama pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

“Katil di sana tidak pernah kosong dan sentiasa dipenuhi pesakit. Bayangkan ada 28 katil, tetapi yang menjaga kami hanya dua jururawat saja,” katanya.

Menurutnya, dua jururawat itu melakukan pelbagai tugas seperti drip (titisan intravena), mencuci najis, kutip sampah dan memantau pesakit.

Katanya, sehubungan itu orang ramai tidak boleh mengambil mudah dengan wabak Covid-19 kerana petugas kesihatan sudah penat dan banyak berkorban sejak awal lagi.