SUAMI isteri kecewa apabila mendapati ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan gambar bayi lelaki mereka yang dilahirkan tanpa tulang belakang, untuk mendapatkan sumbangan orang awam.
Ibu bayi istimewa itu, Siti Aishah Rafiee, 27, berkata, perkara itu disedari selepas kenalannya memaklumkan gambar bayi berusia tiga bulan, Mohd Fauzan Syakir Mohamad Taufiq, dimuat naik di laman akaun Facebook (FB).
Katanya, dia dan suami, Mohamad Taufiq Yusoff, 25, tidak pernah melakukan perkara itu, malah mereka langsung tidak mengenali pemilik akaun bank didaftarkan atas nama Muhammad Idham, berdasarkan nombor akaun tertera pada laman itu.
“Dalam paparan itu, individu terbabit menggunakan gambar Mohd Fauzan Syakir yang dimuat naik satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkongsi masalah dihadapi bayi kami sejak lahir.
“Kami sangat kecewa kerana ada pihak mengambil kesempatan dengan keadaan bayi kami demi kepentingan peribadi. Oleh kerana tidak mahu lebih ramai tertipu, kami membuat laporan di Balai Polis Tengkera, Isnin lalu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Bachang, Melaka, hari ini.
Selain tiada tulang belakang, Mohd Fauzan Syakir turut menghidap penyakit ‘Complex Cyanotic Heart Disease’ dan ‘Diabetes Embryopathy’ selain hanya mempunyai satu injap jantung serta kaki terkepak, dipercayai disebabkan bayi malang itu tiada tulang belakang.
Siti Aishah berkata, walaupun keadaan anak pertamanya itu tidak seperti bayi lain, mereka reda dan bersyukur kerana keluarga dan masyarakat sentiasa memberi sokongan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), yang memberi bantuan RM350 sebulan.
“Buat masa ini tiada rawatan khusus untuk Mohd Fauzan Syakir, tetapi setiap satu hingga dua bulan sekali kami akan membawanya ke Hospital Melaka dan Hospital Serdang untuk pemeriksaan lanjut.
“Doktor tidak memberikan cadangan untuk membuat apa-apa pembedahan buat masa ini, kerana bayi kami masih kecil dan berisiko tinggi, namun saya sentiasa berdoa serta berharap ada keajaiban supaya anak kami sihat dan membesar, seperti bayi normal lain,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Siti Aishah di talian 018-2706810.