Dr Amalina bertunang dengan Mat Salih

PELATIH pakar bedah Kolej Imperial London, Dr Nur Amalina Che Bakri mengumumkan selamat bertunang dengan jejaka pilihan hatinya menerusi perkongsian di Instagram (IG) dan Twitter, hari ini.

Menerusi perkongsian berkenaan, Dr Nur Amalina memuat naik gambar berdua dengan tunangnya dan foto jarinya disarung dengan cincin sebagai tanda pertunangan.

Dr Nur Amalina turut memuat naik kapsyen ringkas menyatakan keterujaannya untuk merancang majlis perkahwinan di dua negara iaitu United Kingdom (UK) dan Malaysia.

Namun, gadis kelahiran Kelantan itu tidak berkongsi butiran lanjut mahupun tarikh bakal melangsungkan majlis pernikahan dengan pasangannya itu.

“Teruja dengan perancangan perkahwinan x2 (UK dan Malaysia),” tulisnya di IG.

Pengumuman berita gembira itu mendapat maklum balas positif daripada pengikut Dr Nur Amalina apabila ruangan komen di IG miliknya dibanjiri dengan ucapan tahniah.

Rata-rata pengikutnya turut mendoakan kebahagiaan Dr Nur Amalina dan pasangannya selain menyatakan tidak sabar menunggu tibanya hari bahagia itu.

Tidak ketinggalan memberikan ucapan tahniah kepada Dr Nur Amalina adalah pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi; pelakon, Lisa Surihani; usahawan popular, Vivi Yusof dan selebriti, Daphne Iking.