Asri Janggut dakwa ‘ayahanda’ tak puas hati

PENGUSAHA Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, mendedahkan beliau ada dihubungi individu yang tidak berpuas hati dengan tindakannya membuat pendedahan mengenai kegiatan judi di sekitar Jalan Besar Bandar Baru Sungai Buloh, kelmarin.

Mohd Asri, 42, berkata, individu berkenaan yang mengaku sebagai ‘ayahanda’ kawasan itu menghubunginya melalui panggilan telefon, semalam.

“Individu itu memberitahu dia tidak berpuas hati dengan tindakan saya mendedahkan mengenai kegiatan judi di kawasan ini dan kata perkara itu adalah salah, namun tiada ugutan diterima.

“Saya sudah merujuk perkara itu kepada pihak polis menerusi perjumpaan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, pagi tadi dan beliau memaklumkan akan melakukan siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Jalan Besar Bandar Baru Sungai Buloh ketika hadir bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk meninjau lokasi yang dipercayai dijadikan sebagai premis judi di kawasan berkenaan.

Kelmarin, Mohd Asri membuat tiga siaran langsung di akaun Facebook Hot Burger Malaysia dengan mendakwa wujud beberapa premis judi serta gerai peniaga warga Indonesia keturunan Aceh yang menjual rokok seludup di sekitar Jalan Besar Bandar Baru Sungai Buloh.

Katanya, walaupun tiada ugutan diterima daripada mana-mana pihak berhubung pendedahan itu, beliau yakin keselamatannya masih terancam.

“Mungkin hari ini tiada apa-apa yang berlaku, namun bahaya itu akan datang kemudian kerana isu ini masih ‘panas’.

“Dalam perkara ini, pastinya ada risiko kerana mesti ada rasa dendam terhadap saya akibat membuat pendedahan berkenaan. Bagaimanapun, saya serahkan semuanya kepada Allah,” katanya.

Mengulas mengenai perjumpaannya bersama Abdul Hamid, beliau berkata, Abdul Hamid mengucapkan terima kasih kerana membantu menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

“Ketika perjumpaan tadi, Ketua Polis Negara mengucapkan terima kasih atas maklumat ini dan meminta untuk saya menceritakan mengenai perkara yang berlaku.

“Dalam perjumpaan itu, beliau memberikan kata-kata semangat kepada saya supaya tidak takut dalam mendedahkan perkara ini.

“Malah, Ketua Polis Negara memaklumkan akan membanteras kegiatan judi kerana beliau tidak suka aktiviti itu berleluasa di negara ini,” katanya.

Sementarai itu, Mohd Asri berkata, beliau sudah dihubungi pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, semalam, untuk diambil keterangan berkaitan laporan polis dibuat terhadapnya mengenai pendedahan itu.

“Saya sudah memaklumkan kepada pihak polis (IPD Sungai Buloh) akan tampil ke balai polis bersama peguam dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.

“Persoalan sama ada saya akan ditahan atau tidak selepas mengambil keterangan nanti, itu saya tidak tahu. Namun, saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya yang memaklumkan sudah menyerahkan telefon bimbit miliknya kepada pihak polis Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

Berita berkaitan

• Buat video dedah kegiatan haram dan serah pada KDN – Hamzah Zainuddin

• Saya dengar sendiri penjelasan beliau – KPN

• Saya belum dapat maklumat – Datuk Bandar Shah Alam

• Asri Janggut dah jumpa KPN

• Saya serah 100 peratus kepada Allah – Asri Janggut

• Pendedahan Asri Janggut akan dibangkitkan di Dewan Rakyat

• SPRM cari penguat kuasa lindung perniagaan haram di Sungai Buloh

• ‘Hak polis untuk nafi tapi saya penduduk asal di situ’ – peniaga burger [METROTV]

• ‘Bagus, ada orang berani, ikhlas…’ – KPN

• Polis buat laporan polis terhadap peniaga burger tular

• Gerai burger disita selepas nasihat tak diendah: MBSA