Dahlah comel, pandai cakap Korea pula…

Kuala Lumpur: Bermula dengan minat menonton rancangan televisyen Korea Selatan sahaja, siapa sangka remaja berusia 18 tahun ini kini semakin fasih bertutur dalam bahasa Korea.

Minat Sarah Sofea Mahayuddin menonton drama dan program televisyen dalam bahasa Korea sejak 2016 lagi, namun keinginan untuk mempelajari bahasa itu hanya bermula pada 2018.

Sejak itu, Sarah Sofea berkata, sebaik selesai menonton setiap siaran itu, dia akan cuba mencari kaedah untuk bertutur dengan perkataan yang dipelajarinya dan membuat carian di internet untuk memantapkan lagi pengetahuannnya.

Menurutnya, dia mula fasih bertutur dalam bahasa Korea tahun lalu selepas mula berkawan dengan orang Korea melalui aplikasi Hello Talk dan KakaoTalk.

Menerusi aplikasi berkenaan, katanya, dia juga dapat berpeluang mengenali individu yang mempunyai minat sama mempelajari bahasa berkenaan dari pelbagai negara, termasuk di Malaysia sendiri.

“Mereka (orang Korea) sangat suka kerana mereka juga ingin berkawan dengan kita kerana ingin mempelajari bahasa Inggeris, jadi kita boleh ajar bahasa masing-masing,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ditanya mengenai cabaran mempelajari bahasa asing, Sarah Sofea berpendapat, ia tidak susah kerana menganggapnya sebagai hobi dan minat.

Anak bongsu dari tiga beradik itu berkata, ibu bapanya turut memberi sokongan dan suka mendengar dia bertutur dalam bahasa itu.

“Saya turut mempelajari bahasa Jepun di sekolah, namun kebolehan saya lebih memberangsangkan dalam bahasa Korea,” katanya yang berasal dari Johor Bahru.

Baru-baru ini, perkongsian Sarah Sofea bertutur dalam bahasa berkenaan di media sosial TikTok mendapat perhatian warganet yang rata-rata memberikan komen dan reaksi yang positif.

Sarah Sofea mengakui, dia tidak menyangka videonya di aplikasi itu mendapat perhatian warganet.

“Saya sangat terkejut bila terima banyak pengikut, komen dan ada juga yang mesej saya. Baru tahu ramai yang seperti saya berminat ingin belajar bahasa lain,” katanya.

Katanya, dia memikirkan untuk terus menguasai bahasa Korea sebaik sahaja tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.