COVID-19: Thailand catat 30 kes baharu, 2 kematian

Setakat ini, Thailand telah mencatat sejumlah 2,643 kes di 68 wilayah dan 1,497 pesakit pulih.

BANGKOK: Thailand telah mencatat 30 kes baharu COVID-19 dan dua lagi kematian, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini ialah 2,643 kes dengan 43 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata, kematian terkini membabitkan seorang wanita rakyat Thailand berusia 65 tahun yang merupakan penjaja jalanan di Chiang Mai dan seorang lelaki rakyat Thailand berusia 60 tahun dari Ayuthaya yang kembali dari Indonesia untuk menghadiri satu perhimpunan keagamaan yang dibatalkan pada saat-saat terakhir.

"Pada April, kira-kira 23 peratus kes yang disahkan adalah dijangkiti daripada ahli keluarga. Oleh itu, adalah penting untuk meneruskan amalan jarakan sosial serta memakai penutup hidung dan mulut ketika berada di rumah.

"Meskipun menyaksikan penurunan jumlah kes baharu di negara ini, kami tidak boleh leka. Kami perlu mengekalkan langkah serta amalan seperti jarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut serta mencuci tangan bagi memastikan jumlah kes baharu terus berkurangan," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini pada Rabu.

Setakat ini, Thailand telah mencatat sejumlah 2,643 kes di 68 wilayah dan 1,497 pesakit pulih dan kembali ke rumah masing-masing.

Thaweesilp berkata, Bangkok mencatat jumlah kes paling tinggi iaitu 1,328 diikuti Phuket (190), Nonthaburi (149), Samut Prahkan (108), Yala (93) dan Pattani (85).

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayuth Chan o-cha berkata, kerajaan akan menilai situasi COVID-19 di negara tersebut sebelum membuat keputusan sama ada melonggarkan perintah dan langkah di bawah dekri darurat.

"Tolong berikan kami sedikit masa untuk menilai situasi ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di Rumah Kerajaan Thailand hari ini.

Prayuth berkata, kerajaan mungkin melonggarkan beberapa kaedah secara berperingkat.

"Saya tahu ramai yang menderita (akibat penularan wabak COVID-19) tetapi kesihatan awam adalah keutamaan kerajaan," katanya. – BERNAMA