‘Belagu’ melodi klasik

MENYAMBUNG karya tradisi khazanah negara bukan satu tugasan mudah.

Namun bagi Dayang Nurfaizah, itu tercatat dalam satu daripada impiannya dan kini menjadi kenyataan.

Dayang kini hadir dengan buah tangan terbaharu berjudul Belagu memuatkan lapan karya yang boleh dianggap sebagai karya tradisi dan disuntik dengan nafas baharu yang lebih segar.

Lapan lagu terbabit ialah Tudung Periuk nyanyian asal Tan Sri P Ramlee dan Saloma, Jikalau Abang Merindu (Nona Aishah), Tak Seindah Wajah (Tan Sri SM Salim), Malam Ku Bermimpi (P Ramlee & Nona Aishah), Gurindam Jiwa (R Ismail & Rafeah Buang), Tari Tualang Tiga (Saloma), Dikirim Jangan Dipesan Jangan (Datuk Andre Goh) dan Kenang Daku Dalam Doamu (M Bakri).

Mendapat sentuhan susunan muzik daripada penerbit tersohor, Aubrey Suwito, deretan lagu lama yang malar hijau sepanjang zaman dilantunkan semula Dayang dengan gaya tersendiri.

ALBUM Belagu tanda penghargaan Dayang buat pengkarya terdahulu.
ALBUM Belagu tanda penghargaan Dayang buat pengkarya terdahulu.

“Saya dah lama simpan senarai lagu klasik dan impian untuk saya keluarkan satu album khas pun sudah ada dalam catatan saya sejak sekian lama.

“Belagu membawa maksud menyanyi dalam dialek Melayu Sarawak,” katanya.

Membuka cerita mengenai penghasilan album ini, Dayang berkata, ia tidak hanya album biasa sebaliknya menjadi satu tanda penghargaan daripadanya buat pengkarya terdahulu.

“Sebagai anak seni, ini satu cara untuk saya menghargai artis lama. Pada masa sama, saya nak ajak generasi baru mendengar semula dendangan lagu klasik ini.

“Projek khas ini mengambil masa agak lama untuk direalisasikan memandangkan saya benar-benar berhati-hati melakukan perincian terbaik demi kualiti hasil yang memuaskan,” katanya.

Menurut anak jati Sarawak ini, dia melakukan perbincangan bersama Aubrey dan menitikberatkan pelbagai aspek sebelum membuat keputusan mengenai pemilihan lagu.

“Saya ada senarai lagu saya sendiri, begitu juga Aubrey. Jadi, menerusi perbincangan kami senaraikan lagu yang sesuai kerana ada antara lagu yang saya suka tak semuanya sesuai untuk saya dendangkan,” katanya.

Berkongsi mengenai cabaran yang dihadapi tatkala menyiapkan album ini, cabaran pertamanya adalah untuk memahami setiap butir kata dalam lagu itu.

“Perkataan yang digunakan dalam lagu klasik ini sangat menarik. Bahasa yang digunakan begitu halus. Jadi, cabaran saya di peringkat awal adalah untuk memahami setiap kata dalam lagu.

“Kalau ditanya lagu mana yang paling mencabar, saya katakan semuanya. Lagi satu, penting untuk saya faham maksud lagunya sebab saya perlu menjiwai lagu itu.

“Saya tak mahu menyanyi sekadar menyanyi sehingga menghilangkan keaslian sesuatu lagu,” katanya.

Itu cabaran di peringkat awal. Namun ada cabaran lain yang menantikan di saat proses rakaman berlangsung kerana ia dirakamkan secara langsung bersama pemuzik.

TERIMA sentuhan susunan muzik daripada penerbit tersohor, Aubrey.
TERIMA sentuhan susunan muzik daripada penerbit tersohor, Aubrey.

“Kami mengambil masa dua hari untuk proses rakaman lagu dan berbeza dengan album saya yang lain, album ini diiringi 15 hingga 20 pemuzik yang bermain secara langsung.

“Saya dan Aubrey mengehadkan proses rakaman sebanyak tiga kali untuk setiap lagu kerana saya tak mahu kalau terlalu lama, jiwa dalam nyanyian itu akan hilang,” katanya.

Satu lagi perkara menarik adalah gabungannya dengan Hael Husaini merakamkan lagu Malam Ku Bermimpi yang pernah dipopularkan Allahyarham P Ramlee dan Allahyarham Puan Sri Saloma.

“Untuk rakaman semula lagu ini, kami ambil versi asal iaitu duet antara P Ramlee dengan Nona Asiah. Liriknya sedikit berbeza, tapi kisah cinta dalam lagu itu lebih kuat dan dapat dirasakan.

“Kerjasama dengan Hael pula adalah kerana saya merasakan bahawa dia rakan duet paling serasi memandangkan tak semua orang mahu menyanyikan lagu klasik.

“Selain itu, dia juga sudi belajar membawakan lagu klasik dan tidak lokek untuk turut sama mencurahkan idea,” katanya.