Anak panda kembar curi tumpuan di Zoo Berlin

Meng Xiang dan Meng Yuan bakal menyambut kelahiran pertama pada 31 Ogos ini. -Foto AP

BERLIN: Sepasang anak panda kembar gergasi menjadi tarikan penduduk setempat untuk melawat sebuah zoo di Berlin, Jerman.

Apa yang lebih menarik, panda kembar Meng Xiang dan Meng Yuan bakal menyambut kelahiran pertama pada 31 Ogos ini.

Ramai pengunjung yang hadir teruja untuk melihat gelagat panda kembar itu selepas zoo tersebut ditutup sejak Mac lalu susulan penularan COVID-19.

Bagi langkah pencegahan penularan wabak itu kepada pengunjung yang hadir, langkah keselamatan sudah dilakukan.

Menurut penjaga Zoo Berlin, Anja, pihaknya sudah menyediakan garis panduan buat pengunjung ke zoo tersebut termasuk proses sanitasi dan menggunakan pelitup muka.

"Kami sudah melakukan persiapan penuh kepada dua ekor panda comel ini terutamanya menjelang ulang tahun kelahiran pertama haiwan ini.

"Dan sempena ulang tahun tersebut, kami juga sudah melakukan persiapan sambutan tersebut dan ia merupakan sebuah kejutan buat pengunjung nanti," ujarnya.

Pada masa sama, pihaknya bersyukur tiada penularan COVID-19 terhadap kedua-dua ekor panda tersebut.