537 ketulan ganja terapung di laut

Langkawi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 537 ketulan ganja mampat bernilai RM1.6 juta selepas ia ditemui terapung di laut berhampiran Pulau Chorong di sini.

Dalam kejadian Isnin lalu, dadah terbabit dipercayai cuba diseludup dari negara jiran ke Pulau Pinang dicampak ke laut oleh penjenayah sebelum ditemui sekumpulan nelayan pada 9.30 pagi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, bagaimanapun dalam kejadian itu tiada tangkapan dilakukan.

“Susulan maklumat disalurkan Sahabat Maritim, sepasukan anggota yang sedang melaksanakan ‘Ops Eagle Eye’ digerakkan ke lokasi sebelum menemui dadah terbabit terapung kira-kira 6.7 batu nautika di Tenggara Pulau Chorong, di sini.

“Ketulan ganja mampat dengan anggaran berat sekilogram setiap satu itu, diikat berbentuk kotak dan 12 daripadanya dibalut kemas dengan plastik hitam, manakala dua plastik putih,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Zawawi berkata, rampasan ganja itu adalah yang terbesar dilakukan Maritim Malaysia di perairan Langkawi dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

“Siasatan mendapati sindiket pengedaran dadah kini beralih menggunakan jalan laut sebagai modus operandi memadangkan pintu sempadan jalan darat belum dibuka akibat pendemik Covid-19.

“Bawa ganja dengan bot yang agak besar kemudian campak ke dalam laut sebelum dikutip semula oleh bot lain yang tiba kemudian menjadi taktik terbaharu sindiket pengedaran dadah,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu turut dibantu Sahabat Maritim dan komuniti nelayan yang bekerjasama rapat menyalurkan maklumat aktiviti jenayah laut .

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.