COVID-19: Thailand terus catat penurunan kes baharu

Thailand merekodkan 28 kes baharu COVID-19 semalam, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,700 kes. – Gambar fail/AP

BANGKOK: Memandangkan Thailand terus mencatatkan penurunan kes baharu COVID-19, kerajaan negara itu sedang mempertimbangkan untuk melonggarkan sekatan COVID-19.

Thailand merekodkan 28 kes baharu COVID-19 dan satu lagi kematian semalam, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,700 kes dan 47 kematian. Setakat ini, 1,689 pesakit telah pulih dan discaj dari hospital manakala 964 masih menerima rawatan.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata, kerajaan akan memutuskan sama ada untuk menarik balik sekatan dan tindakan, termasuk membuka semula salun kecantikan dan kedai gunting rambut.

"Walaupun bilangan kes baharu menyaksikan penurunan kepada dua angka, kita tidak boleh memandang ringan. Kita harus ingat bahawa penurunan angka itu (kes baharu) adalah hasil tindakan yang dikenakan.

"Kita harus terus menjaga keadaan ini agar dapat kekalkan keberkesanan dalam mengawal pandemik COVID-19. Kita harus teruskan sehingga bilangan kes baharu menurun menjadi sifar," katanya pada taklimat harian COVID-19 hari ini.

Minggu lepas, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran bahawa penarikan semula sekatan 'terlalu awal' boleh mencetuskan 'kebangkitan maut' pandemik COVID-19.

Thaweesilp berkata kematian terbaru yang dilaporkan di negara itu membabitkan seorang wanita tempatan berusia 85 tahun, mempunyai sejarah penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi.

Beliau berkata Bangkok mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 1,371 diikuti Phuket (192), Nonthaburi (148), Samut Prakan (108), Yala (99) dan Pattani (87).

"Sembilan wilayah di Thailand kekal bebas daripada jangkitan COVID-19. Sehingga kini, 27 wilayah tidak mempunyai kes baharu COVID-19 dalam tempoh 14 hari yang lepas," katanya.

— BERNAMA