Tragedi Triso: Enam beranak dikebumi dalam satu liang lahad

Simanggang: Jenazah enam beranak yang maut selepas kenderaan mereka terjunam ke dalam Sungai Batang Lupar, semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu, di sini, hari ini.

Semua jenazah yang dibawa dari Hospital Sri Aman tiba di perkarangan tanah perkuburan itu pada jam 5 petang.

Terdahulu, jenazah enam beranak itu disolatkan di Masjid Bandar Sri Aman, selepas solat Asar.

Suasana pilu menyelubungi kawasan perkuburan itu setiap kali jenazah diturunkan ke liang lahad, satu persatu.

Jenazah Siti Aishah Abdullah, 36, diletakkan bersama anak bongsunya, Mohd Ahmad, empat bulan, diikuti empat lagi anaknya, Nor Shuhada Mohamad Hamzah 16; Khairunnisa, 14; Mohd Aiman, 7, dan Mohd Mustaqim, 5.

Turut maut dalam kejadian kira-kira jam 3 petang semalam, adik Siti Aishah, Lorna Ting, 33 bersama dua anaknya, Alvin Phang, 12 dan Wallace Phang, 7.

Mayat tiga beranak itu dibawa balik ke Sibu malam ini untuk disemadikan.

Semua mangsa terkorban selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki terjunam ke dalam Sungai Batang Lupar di pengkalan feri Triso, Beladin di Betong, semalam.

Berita berkaitan:

  • Juragan trauma kenang tragedi
  • ‘Saya hilang dua anak, tujuh cucu serentak’
  • Jangan sebar gambar, video mangsa lemas di media sosial
  • Kenderaan hilang kawalan sebelum jatuh ke sungai
  • Kerajaan Sarawak akan siasat punca kejadian
  • Terkorban ketika nak hantar ahli keluarga ke tahfiz
  • Seorang lagi meninggal dunia [METROTV]
  • 8 sekeluarga lemas, kenderaan jatuh sungai [METROTV]