PENUNDAAN aksi Liga Malaysia (Liga-M) dan larangan menjalani latihan seperti biasa mencetuskan keresahan kepada tonggak Harimau Malaya, Safawi Rasid apabila membayangkan jika tiada sebarang aksi dalam tempoh beberapa bulan akan datang menyebabkan skuad negara mungkin tempang.
Safawi berkata, aksi kompetitif dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang sememangnya penting bagi mengembalikan stamina dan kekuatan pemain yang mungkin sudah berkarat.
Ketika ini, ayam tambatan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, dia hanya menjalani latihan di kediamannya seperti pemain lain namun ia sebenarnya tidak mencukupi dalam mengekalkan momentum bagi menghadapi perlawanan peringkat antarabangsa.
“Sebagai pemain jika tidak dapat bermain untuk dua atau tiga perlawanan cukup meresahkan, inikan pula tempoh tiga atau empat bulan, sekali gus menyebabkan prestasi akan merudum.
“Saya akui prestasi memang akan menurun jika tidak beraksi dalam tempoh yang lama dan perkara sama dilalui pemain lain. Sekarang pelbagai inisiatif dilakukan bagi mengekalkan kecergasan dan momentum namun latihan atas padang sebenarnya lebih penting untuk mencapai tahap optimum,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.
Sebelum itu, Arena Metro melaporkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi bayangan bahawa kempen musim ini akan diteruskan pada September ini.
Malah, format pertandingan turut dirombak dengan aksi Liga Super dan Liga Perdana akan dilangsungkan secara satu pusingan bermula 1-27 September sebelum ia disambung dengan aksi Piala Malaysia dari Oktober hingga November.
Sementara itu, pemain yang berasal dari Dungun itu berkata, dia tetap akur dengan keputusan kerajaan yang masih lagi tidak membenarkan saingan Liga-M dan aktiviti berkaitan bola sepak berlangsung seperti biasa bagi membendung penularan Covid-19.
“Kita perlu patuh pada arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelak dijangkiti pandemik Covid-19 walaupun hati membuak ingin bermain bola sepak sekarang ini,” katanya.