Seronok bekerja dengan suami

KEMESRAAN pasangan selebriti yang baharu mendirikan rumah tangga tanggal 1 Januari lalu, Ayda Jebat dan Nabil Mahir jelas terpancar apabila pasangan merpati dua sejoli ini dilihat begitu romantis dan manja di laman sosial masing-masing.

Benarlah cinta itu sememangnya wujud dan mampu mengubah kehidupan seseorang bertambah bahagia.

Siapa sangka, sehingga detik ini, pasangan ini terus mendapat perhatian ramai apabila kemanjaan yang dikongsikan membuatkan orang lain turut ingin menikmatinya dan dijadikan contoh.

Maka tidak hairanlah, video muzik single terbaharu Ayda berjudul Parah Parah berjaya mendapat hasil terbaik menerusi sentuhan mereka berdua.

Lebih mengujakan video muzik Parah Parah sentuhan lelaki yang kini bergelar suaminya, Nabil sudah pun mencecah 1.4 juta tontonan dalam YouTube.

AYDA pentingkan kualiti dalam pembikinan video muzik Parah Parah dan mengakui Nabil pandai buat kerja.
AYDA pentingkan kualiti dalam pembikinan video muzik Parah Parah dan mengakui Nabil pandai buat kerja.

Ayda berkata, bekerja dengan orang tersayang sememangnya bukan mudah, namun setiap kerja itu harus dilakukan dengan profesional demi melahirkan karya berkualiti untuk kepuasan peminat.

“Kalau saya mahukan sesuatu, saya tegas dengan pendirian. Untuk Parah Parah, kalau ada aspek yang saya rasa perlukan pandangan sendiri, saya akan utarakannya tidak kira bekerja dengan orang yang saya cintai.

“Saya sangat pentingkan kualiti terutama dalam pembikinan video muzik. Bekerja dengan Nabil sangat seronok bukan sebab dia suami saya tetapi memang dia pandai buat kerja,” katanya mengenai Nabil yang bertindak sebagai pengarah dalam muzik video terbabit.

Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat berkata, single Parah Parah menjalani penggambaran di sekitar Selangor termasuklah di Taman Tema Sunway Lagoon, Petaling Jaya.

Ditanya mengenai elemen yang disuntik menerusi lagu Parah Parah, Ayda berkata, kali ini Parah Parah menampilkan unsur yang tidak pernah diterokainya iaitu elemen Hindustan, Timur Tengah dan ‘haiwan’.

Jika sebelum ini dia berjaya membawakan elemen dangdut menerusi lagu Temberang, namun kali ini Ayda mencabar kemampuan dirinya.

“Kami buat penggambaran pada 12 dan 13 Disember tahun lalu. Kami ambil masa dua hari berturut-turut untuk merealisasikan apa yang anda semua sudah tengok di YouTube. Kami bekerja hingga jam 3 pagi.

“Parah Parah seperti sambungan single saya sebelum ini Better Than You yang terbit Jun tahun lalu. Kalau siapa perasan ada babak saya pecahkan gambar Tee Jay,” kata penyanyi dan pelakon berusia 29 tahun ini.

Menyentuh mengenai pembikinan lagu ciptaan Ezra Kong, Mimifly dan Ayda sendiri itu, Ayda berkata, agak klise jika lirik sedih dan melodinya juga mengikut jalan ‘mood’ sama.

“Lirik lagu Parah Parah mengenai seseorang yang patah hati apabila kekasih menduakannya. Melodinya rancak dan saya mahu lari dari kebiasaan. Lagu patah hati tak semestinya kena mendayu-dayu,” katanya.

PASANGAN bahagia, Ayda dan Nabil selamat diijabkabul pada 1 Januari lalu.
PASANGAN bahagia, Ayda dan Nabil selamat diijabkabul pada 1 Januari lalu.

Mahu nikmati hari bahagia dulu

Siapa sangka, Ayda akhirnya mencipta satu memori baharu dalam kehidupan peribadinya apabila sah bergelar isteri.

Biarpun pengenalan mereka singkat, namun Ayda mengakui Nabil memiliki setiap ciri lelaki idaman dan mengutamakan keluarganya.

“Nabil ada banyak kelebihan yang orang lain tak nampak. Dia seorang lelaki yang baik dan sangat pemurah. Susah nak cari suami yang dalam masa sama boleh menjadi sahabat baik kita. Itu bukan perkara mudah.

“Ramai juga yang tak tahu dia suka membantu orang dalam kesusahan. Tapi apa yang membuatkan saya terpikat dengannya ialah dia seorang yang mementingkan keluarga. Dia sangat menyayangi dan meletakkan keluarganya nombor satu,” katanya.

Hampir sebulan bergelar isteri kepada Nabil, Ayda enggan membebankan fikirannya mengenai soal zuriat sebaliknya ingin menikmati hari bahagianya bersama lelaki yang dicintai.

“Saya memang suka kanak-kanak tapi itu bukan fokus utama sekarang. Saya ingin menikmati hari bahagia kami dulu.

“Tapi kalau sudah rezeki, saya bersedia untuk bergelar ibu. Lagipun, saya bukan makin lama makin muda. Nabil pun macam itu. Kami memang suka budak-budak,” katanya.