SELEPAS menjuarai Gegar Vaganza musim keenam (GV6), kerjaya seni Naqiu Boboy, 34, kembali bersinar. Bukan hanya dalam nyanyian, tetapi juga lakonan.
Bagi mengukuhkan bakat muziknya, Naqiu turut bertindak sebagai komposer dan penulis lirik. Kini Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Mohd Najib muncul dengan lagu solo berjudul Sinar Kedua dan video muzik rasmi karyanya itu sudah dimuat naik di saluran YouTube MVM Production sejak seminggu lalu.
Dalam tempoh itu, ia mendapat 380,000 tontonan dan lebih 2,000 komen. Kebanyakan pendengar menerima baik melodi dan lirik lagu terbabit.
Rata-ratanya juga beranggapan karya itu adalah perkongsian harapan Naqiu untuk kembali bersaing di arena industri muzik tanah air.
Tidak terkecuali, ada juga komen pendengar yang mengaitkan lagu Sinar Kedua sebagai harapan buat semua rakyat Malaysia supaya penularan wabak Covid-19 berakhir segera.
Apa yang pasti lagu Sinar Kedua diakui sangat istimewa buat Naqiu untuk melakar semula nama dan bakatnya secara serius dalam kerjaya seni diminati.
Naqiu berkata, selama 12 tahun menyepi dari industri hiburan, dia hanya memendam rindu.
Bukan disebabkan minat sudah pudar, tetapi mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga.
“Bagaimanapun, sekarang saya kembali semula dengan harapan dan persediaan diri yang mantap. Saya tidak hanya aktif menyanyi, tetapi sedia terima peluang berlakon juga.
Bertepatan judul lagu Sinar Kedua itu, kini setiap peluang yang datang saya kalau boleh tidak mahu lagi melepaskannya.
“Saya anggap Allah memberi peluang kedua untuk saya mencuba lagi.
“Pembabitan dalam GV6 lalu ialah langkah permulaan saya. Oleh itu, sejauh mana saya mahu langkah ini terus berjalan, hendaklah giat berusaha dan doa kepada Allah, katanya.
Naqiu yang memiliki vokal serak basah berkata, dia berterima kasih kepada peminat yang setia menyokongnya.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan sokongan peminat. Saya tidak sangka, walaupun menyepi lama, penerimaan sangat baik. Terima kasih.
“Sememangnya saya hanya mampu berterima kasih tidak terhingga kepada peminat. Diharapkan lagu Sinar Kedua dapat menghiburkan dan semoga karya saya ini diterima positif, katanya.
Naqiu berkata, lagu Sinar Kedua ciptaan sepenuhnya dia sendiri berkait rapat dengan kisah hidup.
Jelasnya, lagu itu sangat bermakna untuk dikongsi bersama pemimat.
Boboy takkan dilupakan
Biarpun kini bergerak solo, Naqiu akui dia tidak akan melupakan kenangan indah menempa nama bersama kumpulan Boboy.
Memulakan langkah dengan kumpulan Boboy pada 2000, baginya adalah pilihan tepat. Ketika itu dia masih remaja dan mahu menimba pengalaman.
“Boboy pernah menjadi memori indah dalam hidup saya pada kemunculan awal sebagai penyanyi. Bersama Boboy, kami pernah mencipta fenomena tersendiri.
“Diminati kebanyakan peminat muda ketika itu, menariknya juga Boboy mampu sebaris dengan kumpulan remaja popular lain seperti Spin dan New Boyz.
“Malah, banyak juga pencapaian terbaik Boboy. Cuma, pada era 2000, lagu dinyanyikan menjurus pada jiwang dan tangkap leleh. Lagu cinta yang meruntun jiwa, katanya.
Pernah popular dengan lagu Episod Cinta, Naqiu yang juga bapa lima anak berkata, dia berharap pembabitan semula
dalam kerjaya seni lebih berjaya.