Muslihat harga murah

BUKAN hanya pakaian, malah serbuk minuman coklat dan kopi jenama popular turut dipalsukan dan dijual kepada ribuan pengguna melalui dalam talian.

Kegiatan itu dikesan apabila seorang wanita warga tempatan berusia 30-an menggunakan laman sosial Facebook untuk mengiklankan serbuk minuman jenama palsu yang dijual pada harga lebih murah dari pasaran.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman, berkata, kegiatan itu dibongkar hasil serbuan di rumah di Shah Alam Selangor, kelmarin.

Menurutnya, seramai empat pegawai KPDNHEP Putrajaya terbabit dalam operasi itu selepas mendapat maklumat berkaitan penjualan serbuk minuman yang disyaki jenama tiruan melalui iklan di laman media sosial.

“Hasil risikan mendapati penjual menawarkan penjualan serbuk minuman itu pada harga lebih rendah berbanding harga biasa.

“Suspek wanita itu dikesan menjadikan premis kediamannya sebagai tempat menyimpan stok barangan tiruan itu,” katanya.

Beliau berkata, hasil kerjasama wakil pemilik cap dagang berdaftar menemui dua guni dan 60 bungkus serbuk minuman coklat dan 21 bungkus serbuk kopi jenama palsu.

“Semua barang jenama tiruan itu dirampas dan seorang suspek wanita warga tempatan yang mengaku sebagai pemilik premis diambil keterangan.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 1,300. Kes disiasat mengikut Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh didenda RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan peniaga supaya beretika dalam menjalankan perniagaan dengan memberi maklumat benar dan tepat berhubung sesuatu barangan.

“Adalah menjadi kesalahan jika peniaga memberikan representasi atau menggunakan perihal dagangan palsu atau mengelirukan terhadap barangan yang dijual.

“Produk jenama tiruan berkemungkinan memudaratkan pengguna disebabkan kandungan bahan yang digunakan tidak diketahui,” katanya.