Md Rayhan Kabir dihantar pulang tanpa didakwa

LELAKI Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan dihantar pulang tanpa sebarang pendakwaan.

Peguam bela Md Rayhan, K Sumitha Shaanthinni dan C Selvaraja dalam kenyataan memaklumkan, lelaki itu akan dihantar pulang sebaik keputusan saringan Covid-19 selesai.

Sumitha berkata, proses penghantaran balik itu termasuk menunggu tiket penerbangan ke Bangladesh tersedia.

“Pihak imigresen memutuskan untuk menghantar pulang Rayhan Kabir. Tidak akan pendakwaan dikenakan terhadap anak guam kami.

“Dia akan dihantar pulang sebaik keputusan saringan Covid-19 dilakukannya selesai dan tiket penerbangan tersedia,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Md Rayhan ditahan ketika bersembunyi di sebuah kondominium di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, 24 Julai lalu.

Sebelum ini, JIM memohon bantuan orang ramai bagi mengesan Md Rayhan bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Pada 3 Julai lalu, Al Jazeera menyiarkan dokumentari berjudul Locked Up in Malaysia’s Lockdown dengan Md Rayhan dilihat mengkritik kerajaan Malaysia dan mendakwa wujud diskriminasi dalam mengendali kes Covid-19 membabitkan warga asing.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19