Ketulan ganja lebih setengah juta dirampas [METROTV]

Tapah: Polis merampas 220 ketulan mampat disyaki ganja bernilai lebih RM500,000 dalam serbuan ke atas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah, di sini, kelmarin.

Serbuan dilakukan pada 10.30 pagi oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman hasil risikan selepas menerima maklumat awam.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng berkata, berdasarkan maklumat serbuan dilakukan terhadap Hyundai Starex dinaiki lelaki berusia 47 tahun bersama kekasihnya berusia 32 tahun.

Menurutnya, mereka dipercayai memasuki R&R Tapah untuk berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan ke selatan.

“Hasil pemeriksaan, polis menjumpai lapan plastik berwarna hitam dan di dalamnya terdapat lapan guni berwarna putih di bahagian belakang MPV terbabit.

“Pemeriksaan lanjut menjumpai 220 ketulan mampat disyaki ganja seberat 214.21 kilogram dengan nilai pasaran keseluruhan ganja yang dirampas adalah RM535,525,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail dan Timbalannya Deputi Superintendan Mohd Fadzil Ismail.

Boon Keng berkata, siasatan polis percaya ganja terbabit dipercayai untuk pasaran Kuala Lumpur dengan bekalannya disyaki diperolehi dari utara tanah air dan luar negara.

Katanya, kesemua ganja yang dirampas itu mampu dibekalkan kepada 140,000 penagih dan kejayaan operasi itu adalah hasil risikan selama dua bulan.

“Kedua-dua suspek terbabit direman tujuh hari mulai semalam hingga 9 September ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya.

Katanya, kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat antara masyarakat dengan agensi penguatkuasa khususnya polis dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan dan pemgedaran dadah di negara ini.

BOON Keng (empat kanan) menunjukkan ketulan mampat dipercayai ganja yang dirampas di Hentian R&R Tapah. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
BOON Keng (empat kanan) menunjukkan ketulan mampat dipercayai ganja yang dirampas di Hentian R&R Tapah. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN