Kena strategi, 6 tahun lagi…

IMPIAN beraksi di Tour de France (TdF) bukan satu angan kosong malah ia boleh direalisasikan namun perlu perancangan yang rapi dari segi persiapan fizikal dan mental pelumba tempatan serta berbekal sumber kewangan kukuh.

Dari segi persiapan fizikal pelumba mestilah mencecah Functional Threshold Power (FTP) iaitu sistem yang boleh menilai tahap seseorang pelumba di antara 6.1 hingga 6.7 manakala dari segi kewangan bajet yang diperlukan adalah di antara Euro 30 – 45 juta Euro.

TdF adalah perlumbaan yang ketiga terbesar di dunia selepas Piala Dunia Fifa dan temasya Olimpik.

Ia di siarkan kepada 190 negara membabitkan 121 dan 72 stesen televisyen dan radio. Di sini kita boleh lihat ‘nilai yang tinggi’ untuk penajaan.

Contoh untuk melihat pasukan Malaysia dan pelumba Malaysia ke TdF, negara memerlukan ada landasan seperti di bawah selain yang bermula dengan ‘Pemandu’ yang bersemangat, berpengetahuan, berdedikasi dan berpengalaman.

Kejayaan pasukan Team Sapura Cycling (TSC) di Le Tour de Langkawi (LTdL) yang berstatus benua mampu menjadi penanda aras kemampuan pelumba tempatan untuk menyerlah di persada lebih tinggi dan ia dibuktikan dengan rentetan kejayaan berganda daripada pasukan TSC mahupun Terengganu Cycling Team (TSG).

Walaupun baru berusia 4 tahun ditubuhkan, TSC muncul juara keseluruhan LTdL dua tahun berturut-turut dan lebih bersejarah kejayaan pelumba tempatan, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff menyarung jersi merah iaitu raja bukit selepas 25 tahun penganjuran antara bukti kemampuan pelumba tempatan dan juga pengurusan tempatan dari pengurus, jurulatih hinggalah ke staf sokongan semua rakyat tempatan.

Bagi Pengurus Pasukan TSC, Sayuti Zahit, beliau melihat impian ke TdF bukan sukar untuk digapai. Andai kena pada strateginya mungkin dalam masa enam tahun lagi ia akan dapat direalisasikan.

Namun begitu kita memerlukan platform yang mantap dari sekarang dengan menghidupkan semua program serantau negeri yang boleh menyalurkan pelumba berbakat bagi membentuk satu lagi pasukan iaitu bawah 23 tahun yang boleh berlumba di Asia dan Eropah.

“Apabila kita mempunyai pelapis atau pasukan bawah 23, secara tidak langsung ia memberi direction, dorongan dan harapan kepada pelumba muda dan sebagai ibu bapa pula mereka lebih bersungguh-sungguh untuk menyokong anak mereka bagi mengapai impian itu,” katanya.

Sayuti yang juga bekas pelumba kebangsaan berkata, di sinilah Junior Cycling Malaysia (JCM) memainkan peranan sama seperti program pembangunan akar umbi untuk bola sepak (NFDP).

Malah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika di Parlimen turut memaklumkan program pembangunan akar umbi ini, namun persoalannya ke manakah perjalanan mereka selepas itu.

“Acara ini cukup baik untuk dijadikan plaftform bagi mencungkil bakat bakat baru tetapi kita perlu lihat susur galur selepas itu. Ke mana arah tuju pelumba yang muncul juara baik untuk trek dan mahupun lebuh raya. Ke mana arah tujuan remaja ini selepas itu jika tiada landasan seterusnya disediakan oleh pihak terbabit.

“Jadi di sini saya mencadangkan untuk membentuk satu lagi pasukan bawah 23 tahun yang berstatus benua. Hantar pelumba muda ini bersaing di jelajah Asia dan jelajah Eropah,” katanya.