BERIKUTAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan pada Ramadan kali ini, pelakon dan pengacara, Jihan Muse mengakui turut terkesan dengan situasi itu. Dalam pada reda, dia bagaimana pun akur Ramadan kali ini berbeza.
Jihan atau nama penuhnya Nuur Jihan Musa, 36, melihat situasi yang berlaku ada hikmah tersendiri dan gembira apabila dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga.
Menurutnya, banyak perkara dapat dimanfaatkan apabila ‘terperuk’ dalam rumah sahaja terutama daripada segi ibadah. Jihan memilih untuk mensyukuri apa yang berlaku memandangkan sebelum ini terlalu sibuk dengan karier seni.
“Sebenarnya, saya tak tahu nak rasa apa dengan situasi ini namun memang sudah bersedia untuk segala kemungkinan disebabkan tiada idea bagaimana pengakhirannya. Tapi, secara peribadi saya tiada masalah pun disebabkan setiap Ramadan, saya memang tak ambil banyak tawaran pun dan banyak duduk rumah.
“Sejujurnya, saya gembira dan lega juga disebabkan memang setiap tahun saya cuba melengkapkan Ramadan saya dengan merebut peluang beriadah dan luangkan masa bersama keluarga.
“Disebabkan terlalu sibuk dengan jadual seni, saya akui masa dengan keluarga memang sangat terhad. Maka, apabila sudah duduk rumah 24 jam, dapat fokus lebih kepada keluarga dan ibadat. Nak jaga wuduk pun senang sebab tak bersolek sakan,” katanya.
Bukan sekadar dapat fokus kepada keluarga, banyak perkara baharu dikuasai Jihan terutama membabitkan soal kerja. Menurutnya, dia masih perlu menyelesaikan banyak kerja dari rumah juga.
Namun Jihan bersyukur apabila segalanya dipermudahkan pada era ini dengan kewujudan banyak saluran canggih. Apapun, soal kerja hanya akan difikirkannya selepas selesai dengan urusan keluarga.
“Ada juga komitmen kerja saya lakukan menerusi panggilan video. Macam-macam aplikasi saya muat turun untuk kemudahan persidangan video sampaikan saya sudah pakar dalam mengendalikannya.
“Bagaimanapun, saya cuma akan buat kerja selepas berjaya tidurkan anak terutama pada waktu siang. Kalau ikutkan, mana ada masa lapang sangat pun sebab saya masih perlu jadi suri rumah dan tugasannya jauh lebih sibuk berbanding kerja lain,” katanya.
Lebih menggembirakan Jihan apabila kebanyakan masa berada di rumah dapat meningkatkan lagi pelbagai kemahirannya termasuklah memasak. Menurutnya, dia sudah boleh menyediakan pelbagai resipi baharu.
“Disebabkan waktu PKP ini saya duduk di rumah mak, saya akan masak untuk seluruh keluarga. Daripada seorang yang tidak terlalu pandai masak, saya jadi mahir jugalah sebab mencuba pelbagai resipi. Tapi ada juga resipi yang tak menjadi,” katanya berseloroh.
Simpati
Apapun, Jihan mengakui sangat bersimpati dengan dugaan yang melanda seluruh rakyat Malaysia sekarang. Apatah lagi, pelbagai sektor terjejas sebaik PKP dilaksanakan dan tidak ketinggalan sektor penyiaran.
Menurutnya, banyak tugasan yang membabitkannya juga turut tergendala dan reda jika bebanan kerja bertambah selepas ini.
“Semestinya memang banyak pihak terjejas dan terkesan. Kami dalam bidang penyiaran pun terpaksa akur dengan banyak kerja terbantut.
“Dalam tempoh PKP ini saya sepatutnya terbabit dalam acara seperti Anugerah Meletop Era 2020. Rakaman untuk I Can See Your Voice pun terpaksa ditunda, manakala penggambaran siri Keluarga Baha Don musim kedua untuk viu.com pun tertangguh.
“Semua tugasan saya ini agak terjejas terutama daripada segi penyusunan jadual. Dan saya yakin selepas PKP nanti jadual itu akan bertindan,” katanya.
Meskipun Jihan secara kasarnya tidak terjejas daripada segi kewangan, dia mengakui sedih mendengar perkhabaran rakan terdekat lain yang terbeban. Bagaimanapun, dia berharap semua pihak akan melihat dugaan ini dari sudut positif.
“Antara pihak lain yang paling terkesan semestinya pekerja makan gaji hari. Majikan untuk perniagaan kecil pun sama disebabkan mereka masih menanggung pekerja. Ramai kawan-kawan saya sudah rancang mahu tutup perniagaan sebab tak mampu tanggung.
“Apapun, banyak hikmah sebenarnya jika dilihat dari sudut positif. Kita jadi lebih pembersih, lebih rapat dengan keluarga, dan tingkatkan kemahiran buat kerja rumah. Selain itu, kita dapat jaga beribadah dengan baik, tolong orang, amal jariah, dan banyak jenayah dapat dibanteras,” katanya.