‘Internet kini keperluan ketiga’

Pelbagai pakej rangsangan ekonomi diperkenalkan kerajaan untuk memastikan ekonomi Malaysia stabil manakala rakyat mendapat manfaat.

Ikuti wawancara dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) DATUK SERI MUSTAPA MOHAMED dan wartawan, YUSMIZAL DOLLAH ALING bagi mengulas perkara ini.

Bagaimana Datuk Seri melihat pertumbuhan ekonomi negara pada tahun lalu. Adakah mencapai sasaran yang diletakkan?

Semasa pembentangan Belanjawan 2021, Kementerian Kewangan menjangka ekonomi negara menguncup 4.5 peratus pada 2020.

Namun akibat gelombang ketiga Covid-19, ekonomi negara menyusut 5.6 peratus.

Namun secara keseluruhannya, ia berkembang lebih baik sedikit daripada jangkaan organisasi antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) (-5.8 peratus), Bank Dunia (-5.8 peratus) dan Bank Pembangunan Asia (-6.0 peratus).

Kerajaan terus berusaha memastikan ekonomi khususnya di peringkat akar umbi dan mikro dapat digerakkan.

Semua orang terjejas, tetapi golongan B40 dan M40 yang paling terasa.

Kerajaan mengumumkan enam pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM325 bilion untuk mengurangkan beban dihadapi rakyat.

Pada Rabu lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) sebagai bantuan susulan untuk memastikan usaha melindungi nyawa dan kehidupan rakyat terus dibela.

Bagaimana Datuk Seri melihat inisiatif itu akan memberi manfaat?

Pakej berjumlah RM20 bilion itu merangkumi pelbagai inisiatif.

Umpamanya, RM1.2 bilion peruntukan tambahan untuk membantu golongan B40. Ini termasuk agihan tunai
RM500 kepada dua kategori membabitkan 2.4 juta penerima.

Contoh lain, bagi memastikan beban rakyat dikurangkan, kerajaan memperuntukkan RM3 bilion subsidi untuk had kenaikan harga petrol dan diesel.

Datuk Seri pernah berkata yang pemulihan ekonomi Malaysia mengambil masa lebih enam bulan. Bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini ketika ini?

Pemulihan ekonomi bergantung kepada beberapa faktor utama.

Pertama, pembukaan sempadan negara dan boleh rentas negeri bagi merancakkan semula pelancongan, pelaburan dan perniagaan.

Pelancongan adalah sektor terjejas teruk disebabkan penutupan sempadan dan pada suatu ketika dahulu, orang ramai tidak boleh merentas negeri.

Kedua, program vaksinasi yang akan meningkatkan keyakinan pelabur dan pengguna.

Ketiga, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19. Selain itu, beberapa SOP dilihat terlalu ketat perlu dilonggarkan bagi memastikan semua sektor bergerak lebih lancar.

Keempat, keadaan ekonomi dunia. Hari ini, kita dapat lihat ekonomi dunia makin pulih. Sebagai contoh, pakej rangsangan ekonomi Amerika Syarikat (AS) bernilai US$1.9 trilion memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi AS dan secara tidak langsung kepada ekonomi dunia.

Kini, ekonomi AS berkembang 6.5 peratus tahun ini berbanding 3.2 peratus yang diramalkan sebelum ini.

Pada 2020, ekonomi negara mengalami kemelesetan disebabkan suku kedua, ketiga dan keempat menguncup.

Suku pertama tahun ini dijangka mencabar namun Insya-Allah, pada suku kedua, ketiga dan keempat, ekonomi negara kembali berkembang dengan positif.

Kerajaan responsif dengan rintihan rakyat. Sebagai contoh, program i-Sinar dan Program Subsidi Upah ditambah baik.

Terkini, Pemerkasa adalah langkah diambil kerajaan selepas mendengar dan menilai keadaan semasa kesan daripada gelombang ketiga Covid-19.

Boleh Datuk Seri sertakan contoh bagi maksud ini?

Sebagai contoh, pelancongan yang terjejas teruk. Kerajaan sediakan beberapa bantuan khusus.

Antaranya, Geran Bantuan Khas secara sekali bayar sebanyak RM3,000 kepada lebih 5,000 agensi pelancongan yang berdaftar dengan Motac.

Kerajaan bersetuju menyediakan bantuan tunai secara sekali bayar RM600 kepada pengusaha inap desa berdaftar dengan Motac.

Bantuan ini dijangka memanfaatkan lebih 4,000 tuan rumah atau pengusaha Program Pengalaman Homestay.

Ramai bercakap hilang kerja, hidup susah dan berniaga pun perlahan.

Kerajaan sedar perkara ini. Menurut Perkeso, 18,277 yang hilang pekerjaan membuat tuntutan skim insurans pekerjaan sepanjang tahun ini, lebih tinggi berbanding dengan 15,602 orang bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Sepanjang 2020, 107,024 orang hilang pekerjaan.

Paling terjejas teruk lebih 2.4 juta yang terlibat dalam sektor informal iaitu yang berniaga kecil-kecilan atau bekerja sendiri. Ramai tidak boleh berniaga.

Kerajaan mengambil pelbagai langkah mengurangkan beban mereka.

Pada minggu lalu, saya meninjau keadaan gelandangan di ibu kota dan melawat keluarga dalam senarai e-kasih di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Perkasa di Cheras, Kuala Lumpur pada 12 Mac lalu untuk melihat sendiri keadaan di bawah.

Isu kemiskinan bandar ini dibentangkan oleh Laksana, Kementerian Kewangan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC).

Kita sedar banyak cabaran dihadapi untuk mengatasi masalah dihadapi khususnya data berkaitan keluarga miskin tegar dan miskin yang perlu dimantapkan.

Fokus kerajaan sekarang memantapkan pangkalan data kemiskinan negara bagi menyokong penggubalan dasar yang lebih berkesan dan inklusif.

Di bawah Pemerkasa, kerajaan menyediakan peruntukan RM100 juta bagi program bantuan barangan dapur melalui inisiatif pembelian tanpa tunai.

Program ini bagi mengurangkan kos sara hidup bagi golongan miskin bandar.

Program Subsidi Upah membantu untuk mengelak lebih ramai dibuang kerja.

Kerajaan menyediakan subsidi gaji RM600 untuk setiap pekerja kepada mana-mana syarikat yang layak.

Sejak dilancarkan, RM14.4 bilion disalurkan yang memanfaatkan 2.7 juta dan lebih 330,000 majikan.

Program ini disambung dalam Pemerkasa dengan peruntukan RM700 juta. Jika tiada program PSU ini, 2.7 juta orang hilang kerja.

Untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kerajaan memperuntukkan dana tambahan RM500 juta dan keseluruhan skim mikro kredit setakat ini ialah RM2.6 bilion.

Ketika ini, kita dapat lihat digital mula ambil peranan besar dalam sektor ekonomi negara. Bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini dan apa yang kerajaan boleh lakukan untuk membantu mereka ini?

Covid-19 menyebabkan kita semua hidup dalam norma baharu. Belajar dari rumah menggunakan internet. Teksi konvensional semakin pupus diganti dengan perkhidmatan e-panggilan. Semakin ramai bekerja dari rumah.

Hari ini, internet menjadi keperluan ketiga selepas bekalan air bersih dan elektrik.

Oleh itu, kerajaan melancarkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia atau MyDIGITAL.

Insya-Allah, inisiatif bakal dilaksana di bawah MyDIGITAL dapat menyediakan 500,000 peluang pekerjaan yang berkualiti dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Bagi orang kampung, masalah paling utama ialah akses kepada internet. Banyak rungutan kita dengar.

Program Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk meningkatkan liputan internet. Kualiti liputan juga ditingkatkan. Sekarang masih ada blindspot di bandar utama termasuk di Putrajaya, perkara ini harus diselesaikan segera.

Di bawah Jendela, kerajaan memperuntukkan RM4.6 bilion bagi memperluas perkhidmatan jalur lebar, terutama di luar bandar, selain pihak industri membuat pelaburan setanding atau lebih untuk kawasan bandar dan pinggir bandar antara 2021 hingga 2025.

Penekanan terhadap digital diteruskan dalam Pemerkasa melalui Program Jaringan Prihatin yang mana penerima BPR menikmati subsidi RM300 untuk membeli telefon pintar.

Selain itu, kerajaan memperuntukkan RM3.2 bilion dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar terutamanya di luar bandar.

Pusat internet desa akan diperkasa menjadi pusat sehenti untuk menggerakkan ekonomi digital di peringkat akar umbi.

Sokongan kerajaan untuk sektor ekonomi diceburi Bumiputera?

Agenda Bumiputera bukan perkara baharu. Sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada 1971, agenda ini diberikan penekanan dan pada masa sama, kaum lain tidak diabaikan.

Kek ekonomi dibesarkan dan merapatkan jurang yang ada.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) meneruskan agenda ini melalui Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030) dengan memastikan kemakmuran dinikmati bersama dan hidup aman harmoni.

Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) turut memberi perhatian kepada agenda Bumiputera.

Rancangan lima tahun ini fasa pertama untuk mencapai WKB 2030.

Hari ini, kita berbangga ada usahawan Bumiputera berjaya tetapi bilangannya masih tidak memuaskan.

Bagaimana Datuk Seri merumuskan keadaan hari ini dan masa depan Malaysia dalam kenyataan ringkas?

Kerajaan berusaha sedaya upaya mengurangkan beban rakyat.

Pemerkasa adalah langkah berterusan diambil kerajaan untuk memastikan ekonomi dapat digerakkan.

Pemerkasa membuktikan kerajaan proaktif menangani keadaan sekarang yang amat dinamik.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi perhatian serius bagi menangani krisis dihadapi hari ini. Tiada lagi politik.

Apa yang penting ialah ekonomi dapat dipulihkan. Kita semua ada keluarga dan anak-anak. Kita perlu cari makan.