Insiden tembakan di luar White House, Trump diiring keluar ketika sidang media

Trump hanya dibawa keluar seketika dan kemudian meneruskan taklimatnya beberapa minit kemudian. -Gambar fail/AP

WASHINGTON : Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dibawa keluar daripada sidang akhbar di White House pada Isnin susulan insiden tembakan di luar bangunan itu.

Menurut laporan CNN, ketika itu Trump sedang menghadiri sidang media harian bagi melaporkan perkembangan terkini situasi COVID-19 di negara itu.

Trump bagaimanapun hanya dibawa keluar seketika dan kemudian meneruskan taklimatnya beberapa minit kemudian.

"Insiden tembakan ini bagaimanapun berjaya dikawal dan saya dimaklumkan bahawa ada individu yang cedera dan telah dibawa ke hospital selepas ditembak ejen Perkhidmatan Rahsia.

"Saya kurang pasti mengenai keadaannya," katanya kepada wartawan.

Trump menambah, individu yang ditembak itu bagaimanapun tidak melanggar sebarang peraturan.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada pasukan tersebut yang berjaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan pantas.