Beberapa saintis mendakwa, sebuah pasar makanan laut di Wuhan menjadi punca penularan wabak yang kini telah meragut lebih 50,000 nyawa seluruh dunia.
Menurut pihak berkuasa Shenzhen, larangan itu akan mula berkuat kuasa pada 1 Mei.
“Anjing dan kucing sebagai haiwan peliharaan telah membentuk hubungan yang lebih rapat dengan manusia, berbanding haiwan lain.
“Larangan pemakanan anjing dan kucing serta haiwan peliharaan lain adalah amalan biasa di negara maju, serta di Hong Kong dan Taiwan,” kata kerajaan bandar itu dalam satu notis pada Rabu.
“Larangan ini juga merupakan satu tindak balas kepada keperluan tamadun manusia.”
Terdahulu, China melaksanakan pengharaman sementara penjualan dan pemakanan hidupan liar susulan kemuncak penularan COVID-19 di negara itu pada Februari.
Langkah yang diambil oleh bandar itu diterima baik oleh kumpulan pejuang kebajikan haiwan.
“Shenzhen menjadi bandar pertama di dunia yang secara serius belajar dari pandemik ini dan membuat perubahan yang perlu bagi mengelak pandemik lain pada masa depan,” kata Teresa M Telecky, naib presiden jabatan hidupan liar Humane Society International.
“Langkah berani yang diambil Shenzhen dalam menghentikan perdagangan dan pemakanan hidupan liar wajar menjadi contoh kepada kerajaan lain seluruh dunia,” tambahnya.