Covid-19: Kluster Benteng LD dikesan di IPD Lahad Datu [METROTV]

TUJUH kes baharu positif Covid-19 dikesan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes itu menjadikan kewujudan kluster baharu yang dinamakan Kluster Benteng LD membabitkan enam pendatang asing tanpa izin (Pati) dan satu warga negara Malaysia.

Menurutnya, kluster baharu itu dikenal pasti hasil saringan terhadap tahanan baharu di lokap IPD Lahad Datu, Sabah, pada 28 Ogos lalu.

“Setakat ini, seramai 50 orang tahanan disaring dan daripada jumlah itu tujuh dikesan positif Covid-19 manakala 43 negatif.

“Kes positif membabitkan enam Pati dan satu warga negara Malaysia. Semua kes positif ini tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Lahad Datu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman dijalankan di lokasi yang dikenal pasti.

“Aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat diteruskan. Punca jangkitan juga masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, masing-masing satu kes baharu dilaporkan dari Kluster Tawar dan Kluster Telaga, hari ini.

Katanya, jumlah kumulatif kes positif Kluster adalah sebanyak 75 kes manakala enam kes bagi Kluster Telaga.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Covid-19