Covid-19: Dua petugas kesihatan maut, 181 positif [METROTV]

SERAMAI 181 petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan swasta dikesan positif Covid-19 manakala dua kematian membabitkan golongan terbabit dilaporkan setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, siasatan mendapati punca jangkitan bagi kesemua anggota kesihatan itu bukan disebabkan pengendalian kes positif di fasiliti kesihatan.

“Daripada jumlah itu, 122 petugas kesihatan dijangkiti di luar kawasan hospital, contohnya menghadiri kenduri perkahwinan dan datang hospital lalu menjangkiti rakan mereka.

“Manakala 36 lagi petugas dijangkiti semasa berkhidmat di klinik atau Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Ia disebabkan semasa melaksanakan prosedur, pesakit tidak memaklumkan ada hubung kait dengan kontak rapat positif Covid-19.

“Ini bermakna hanya 20 peratus dijangkiti di hospital manakala 80 peratus bukan berkaitan perkhidmatan di hospital,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Noor Hisham berkata, seramai 2,000 petugas kesihatan sudah menjalani saringan secara berkala bagi memastikan tiada jangkitan itu dalam kalangan petugas.

“Kita menyaring barisan hadapan secara berkala bukan di hospital KKM sahaja, tetapi hospital swasta turut melakukan saringan sama.

“Kita tidak tunggu bergejala baru nak saring, sebaliknya dilakukan secara berjadual,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19