Adibah & Mahalachumy

MURNINYA hati Adibah Atiqa Ahmad Azam, 24, yang sanggup menawarkan pekerjaan kepada wanita berlainan bangsa terjejas pendapatan akibat Covid-19.

Walaupun pekerjaan ditawarkan sekadar mengupas kulit bawang namun ia umpama ‘talian hayat’ kepada P Mahalachumy, 52, yang menderita ketumbuhan pada bahagian dada itu dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Usahawan makanan dan kendera saji itu berkata, dia mengetahui kesulitan dialami Mahalachumy daripada rakannya, Roob Gunesan, 34, yang singgah membeli nasi lemak dijual wanita berkenaan Selasa lalu.

“Mak cik Mahalachumy meluahkan kesulitan hidupnya kepada Roob selain sedang mencari pekerjaan lain untuk menambah pendapatan sedia ada.

“Saya difahamkan, upah jualan nasi lemak diterima tidak seberapa dan tidak dapat menampung kos sara hidup mereka sekeluarga.

“Paling membuatkan saya tersentuh hati apabila mengetahui dia menderita ketumbuhan dan memiliki dua anak masih bersekolah rendah,” katanya.

Menurut Adibah Atiqa, selepas Roob memperkenalkannya dengan Mahalachumy, dia bersetuju mengupah wanita itu sebagai pengupas kulit bawang untuk bahan masakan di enam cawangan perniagaannya di sekitar Selangor.

“Setiap hari saya hantar empat guni bawang untuk dikupas mak cik Mahalachumy dengan bayaran RM50 sehari.

“Saya akan gunakan khidmat mak cik Mahalachumy selagi dia terdaya dan berminat melakukan pekerjaan ini.

“Saya percaya, dalam rezeki saya ini ada bahagian untuk orang lain, sebab itu tanpa berfikir panjang saya sanggup membantunya,” katanya.

Sementara itu, Mahalachumy berterima kasih kepada Adibah dan Roob yang sudi membantunya mendapatkan pekerjaan itu.

Katanya, sebelum ini, dia memperoleh upah menjual nasi lemak milik kenalan berbangsa Melayu antara RM15 hingga RM30 sehari selain turut melakukan pelbagai pekerjaan sampingan lain termasuk mencuci kediaman orang.

“Pendapatan kami terjejas teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bulan lalu, kami meneruskan jualan nasi lemak berhampiran rumah kami namun pendapatan diterima tidak seberapa.

“Kami memerlukan pendapatan lebih daripada sedia ada kerana perlu membayar sewa rumah RM350 sebulan selain menampung dua anak masih bersekolah.

“Saya lega dapat pekerjaan ini. Dapatlah kami menampung perbelanjaan dan menambah pendapatan,” katanya yang menetap di sebuah flat di Taman Sentosa.

Bagi Roob pula, dia tidak pernah menyangka usaha kecilnya itu mampu mengubah kehidupan Mahalachumy sekeluarga.

“Saya rasa macam ini aturan Tuhan yang menggerakkan hati saya untuk membantu mak cik Mahalachumy,” katanya.