Pengimbas suhu ‘kebas’ maklumat

Kuala Lumpur: Peranti pengimbas suhu elektronik yang mempunyai sambungan atau akses internet berkemungkinan menyebabkan kebocoran data peribadi pengguna kepada pihak ketiga.

Ketua Unit Multimedia Fakulti Sains, Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Ainuddin Wahid Abdul Wahab berkata, ia bagaimanapun bergantung kepada fungsi dan ciri yang terdapat pada sesebuah peranti serta bagaimana ia diprogramkan.

Menurutnya, biarpun fungsi asalnya adalah untuk merekod dan memaparkan bacaan suhu namun terdapat juga sistem yang dilengkapi kamera yang boleh mengimbas wajah serta merekod video.

“Terdapat beberapa jenis pengimbas suhu digunakan di pasaran ketika ini seperti termometer digital inframerah dan juga pengimbas suhu elektronik berkamera.

“Penggunaan termometer digital inframerah dilihat lebih selamat dari segi pengoperasiannya kerana tidak mempunyai ruang simpanan data dan kebiasaannya maklumat suhu berkaitan hanya direkod secara manual walaupun data suhu ini sebenarnya tidak perlu dicatatkan.

“Namun, bagi pengimbas suhu elektronik berkamera, ia selalunya mempunyai akses internet supaya data imbasan wajah dapat dihantar ke cloud untuk diproses bagi mendapatkan bacaan suhu dan maklumat berkaitan.

“Data yang dikumpulkan ini tidak mustahil dikongsikan dan dihantar kepada pihak ketiga yang berkepentingan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya.

Ainuddin berkata, lebih membimbangkan jika sesuatu premis itu menggunakan kod QR sendiri dan bukannya seperti aplikasi MySejahtera yang diwajibkan kerajaan.

Katanya, ia kerana imbasan QR menerusi peranti pengguna selalunya akan membawa mereka kepada pautan iaitu satu borang dalam talian yang meminta mereka mengisi maklumat yang kemungkinan tidak perlu didedahkan kepada mana-mana pihak.

“Menerusi penggunaan aplikasi MySejahtera, data direkod adalah seperti nama, nombor, telefon, tarikh, masa dan tempat individu itu berada.

“Selaku pengguna, kita akan merasa lebih selamat kerana ia tertakluk kepada Tatacara Pengendalian Aktiviti Pengumpulan, Pemprosesan dan Penyimpanan Data Peribadi oleh premis perniagaan yang sudah diluluskan kerajaan.

“Namun, kod imbasan QR palsu itu boleh dicipta dan membawa pengguna kepada pautan yang tidak sah.

“Lebih membimbangkan jika maklumat dikumpul akan disuai padan dengan imej serta video pengguna yang dirakam menggunakan peranti pengimbas suhu elektronik,” katanya.

Menurutnya, maklumat yang berada dalam format digital tidak sukar untuk dibuat salinan dan dipindahkan ke peranti elektronik lain jika pelaku ada niat untuk mendapatkannya.

“Jadi, pengguna perlu peka dan pastikan mereka hanya mengimbas kod QR diyakini seperti aplikasi MySejahtera yang disyorkan kerajaan dan bukan lain-lain demi keselamatan data peribadi mereka.

“Pihak premis pula harus sedar bahawa mereka perlu bertanggungjawab dengan memastikan data pelanggan dan pengunjung dikendalikan dengan baik kerana ia tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

“Selepas tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), mereka (pemilik premis) wajib melupuskan data itu dengan memusnahkannya atau memadamnya secara kekal.

“Ancaman kebocoran data ini tidak terhad hanya kepada data dalam format digital malahan data yang ditulis oleh pengguna di dalam buku rekod manual juga terdedah kepada penyalahgunaan oleh pihak berkepentingan jika tidak dikawalselia dengan baik,” katanya.