Tabik FAM!

KUALA LUMPUR: Langkah drastik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bersikap tegas dengan sanggup menyingkirkan mana-mana pasukan ekoran kegagalan menswastakan pasukan adalah tepat demi kebaikan jangka panjang Liga Malaysia (Liga M).

Malah, risiko yang sanggup diambil dengan rela berdepan pengurangan pasukan adalah pengorbanan ‘berani mati’ yang harus dibuat oleh FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon berkata, semua pihak perlu memberi kerjasama bagi menjayakan misi terbabit.

Jelasnya, meskipun kemeriahan Liga M kemungkinan akan terjejas dengan pengurangan pasukan namun badan induk itu tiada pilihan lain dan ia suatu pengorbanan yang cukup besar.

“Dari segi kemeriahan sudah pasti beri kesan jika pasukan bertanding berkurangan tetapi dari aspek ke arah profesional sepenuhnya, ini adalah langkah terbaik yang dilakukan FAM.

“Ia akan memberi kesan baik untuk masa depan bola sepak negara kerana untuk meraih kemajuan pasti perlu ada pengorbanan.

“FAS faham tindakan ini bukan diambil tanpa memikirkan kesan bakal dihadapi tetapi saya yakin FAM sudah mengenal pasti apa masalah akan timbul dan menyediakan jalan penyelesaian terbaik demi kebaikan bola sepak negara.

“Sepatutnya semua persatuan memberi kerjasama sepenuhnya kepada FAM dan saya tidak rasa tindakan ini diambil untuk membebankan ahli gabungan tetapi lebih kepada mematuhi arahan daripada pihak AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) dan Fifa (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa),” katanya.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memberi amaran keras apabila mengakui tempoh berlembut atau tempoh ‘berkasih sayang’ dengan pasukan Liga M kini sudah berakhir dan semua pasukan diwajibkan untuk melengkapkan proses penswastaan.

Menurut Hamidin, pihaknya memandang serius isu penswastaan dan berharap semua pasukan segera menyelesaikannya sebelum tarikh akhir pada 30 September ini.

Katanya, kegagalan pasukan mengikut ketetapan itu, bukan saja membolehkan mereka disingkir ke liga bawahan malah turut berdepan halangan untuk beraksi dalam saingan Liga M.

Malah, Hamidin menegaskan pihaknya tidak berdepan masalah untuk meneruskan saingan meskipun terpaksa mengecilkan jumlah penyertaan pasukan musim depan.

Dalam pada itu, Dr Johan percaya kemeriahan liga akan kembali normal pada tahun kedua di samping tadbir urus pasukan yang lebih efisien termasuk bebas daripada isu tunggakan gaji.

“Saya setuju kemeriahan akan kurang tetapi saya yakin kita dapat kembali balik kemeriahan itu pada masa akan datang, lebih meriah lagi selepas ini bola sepak negara tidak akan terpalit dengan isu-isu negatif seperti tunggakan gaji.

“Malah, lebih membanggakan pengurusan akan lebih efektif, ekosistem akan lebih tersusun dan industri bola sepak tempatan akan lebih baik,” katanya.

FAM memberi tempoh sehingga 30 September ini kepada semua 24 pasukan Liga M menyelesaikan proses penswastaan termasuk pemisahan antara FA kepada FC.