Usah tawar ‘paksa rela’

SYARIKAT penerbangan diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya menawarkan pemberhentian ‘paksa rela’ kepada kakitangan berikutan terjejas akibat Covid-19.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam), Ismail Nasaruddin berkata, tindakan itu hanya akan menambah beban kakitangan yang kini terpaksa bergelut dengan ketiadaan penerbangan dan cuti tanpa gaji ditawarkan syarikat.

Katanya, syarikat perlu berani umum kepada kakitangan status kewangan sebenar agar setiap keputusan yang diambil jelas tanpa ada agenda tersembunyi.

“Saya tidak mahu ahli teraniaya dan Covid-19 ini dijadikan alasan utama pemberhentian beramai-ramai dilakukan.

“Langkah strategik segera perlu diambil syarikat untuk pastikan kakitangan yang banyak berkorban dan setia tidak dimanipulasi sewenang-wenangnya,” katanya ketika dihubungi.

Ismail berkata, Nufam kini mempunyai 2,000 ahli menasihatkan kakitangan yang terjejas supaya meneliti setiap tawaran yang diberikan agar tidak menindas mereka di kemudian hari.

Katanya, jika langkah menawarkan cuti tanpa gaji adalah usaha untuk mengelak daripada pemberhentian, ia amat dialu-alukan kerana mampu menyelamatkan ‘periuk nasi’ ribuan kakitangan industri penerbangan.

“Nufam juga berharap kerajaan tidak melupakan industri penerbangan dengan memberikan suntikan dana untuk kembali beroperasi sebaik pandemik ini berakhir,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19